suria

Penduduk Kesal Kanang Anak Langkau, Rosli Dhoby Jadi Bahan Kempen

BAU: Kemunculan kain rentang menggunakan gambar dua wira negara yang telah meninggal dunia iaitu Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dan Rosli Dhoby sebagai bahan kempen Barisan Nasional (BN) telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat setempat.

Menerusi laman Facebook Gempurwira, kumpulan itu menyifatkan BN telah menyalahgunakan penggunaan gambar kedua-dua pejuang yang berasal dari negeri ini.

Sehubungan itu, Gempurwira yang merupakan kumpulan perbincangan mengenai anggota tentera di Malaysia yang ditubuhkan pada 2012 mendakwa telah menyatakan bantahan kepada Kementerian Pertahanan.

"Kami baru sahaja menerima mesej pesanan ringkas, semua poster telah diarahkan untuk diturunkan.

“ATM (Angkatan Tentera Malaysia) mempertahankan keselamatan kita semasa bencana dan perang. Biar kita pertahankan kebebasan daripada pengaruh politik ke atas ATM di masa aman.

"Kami berharap kedua-dua pihak memandang serius akan status ATM sebagai agensi keselamatan terulung negara yang sumpah taat setianya adalah kepada Yang dipertuan Agong dan bukannya mana-mana ahli politik, sama ada dari parti pemerintah mahupun pembangkang,” demikian menurut catatan di Facebook Gempurwira.

Kain rentang berkenaan dikatakan dikesan digantung di beberapa lokasi di sekitar kawasan ini dan Kuching.

Sementara itu, tinjauan mStar Online pada Ahad turut menemui dua kain rentang berkenaan digantung di hadapan bilik gerakan BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu.

Lokasinya terletak di tepi jalan yang menghubungkan Kuching dan Bau.

Pada kain rentang yang menggunakan gambar Kanang lengkap beruniform ATM mengandungi tulisan dalam bahasa Iban iaitu "lenyau nuan nadai orang nganti” yang bermaksud “hilang anda tiada pengganti”.

Sementara itu, di satu sudut lain, kain rentang yang menggunakan gambar Rosli Dhoby seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British bertulis “perjuangan demi masa depan Sarawak”.

Kedua-dua kain rentang itu turut dicetak logo ‘dacing’ BN.

Kanang meninggal dunia pada Januari 2013 sementara Rosli terkorban pada Mac 1950.

Kanang Anak Langkau, Rosli Dhoby

Artikel Lain