suria

Dua Lelaki Warga India Guna Pasport Palsu Ditahan Di Bukit Kayu Hitam

- Gambar hiasan
ALOR SETAR: Dua lelaki warga India ditahan Jabatan Imigresen Kedah kerana menggunakan pasport palsu Perancis untuk masuk ke negara ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, petang Selasa.

Ketua Imigresen Bukit Kayu Hitam, Nar Azaman Ibrahim berkata dua lelaki berumur 26 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam selepas mendapati terdapat keraguan pada ciri-ciri keselamatan pasport mereka.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati pasport tersebut telah dipalsukan berdasarkan terdapat kesan tebukan pada nombor siri di muka hadapan yang tidak sama dengan muka surat lain.

"Dua lelaki itu mengaku menggunakan pasport Perancis yang dilaporkan hilang dan pengesahan mengenai kehilangan pasport tersebut turut disahkan oleh kedutaan Perancis di ibu negara.Kehadiran dua suspek tersebut disyaki untuk transit ke negara ketiga" katanya dalam kenyataan Rabu.

Katanya suspek menggunakan pasport Perancis palsu itu bagi mendapatkan pas lawatan sosial untuk masuk ke negara ini.

Nar Azaman berkata kedua-dua suspek kini direman di lokap Ibu pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 kerana memalsu, meminda atau mengubah pasport tanpa kebenaran yang sah.

Artikel Lain