suria

Dua Lelaki Ditahan Selepas Insiden Berbalas Tembakan Dengan Polis

SUNGAI PETANI: Polis menahan dua lelaki selepas insiden berbalas tembakan berhampiran Taman Sejati, di sini awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata kejadian berlaku kira-kira 1.15 pagi tadi apabila dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang membuat rondaan di belakang Hotel Park Avenue, ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang mencurigakan.

"Kenderaan tersebut sedang menghimpit sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton warna hitam. Suspek empat lelaki dalam Ford Ranger berkenaan menyedari kehadiran polis telah memecut kenderaan ke kawasan Taman Kempas dan ingkar arahan polis untuk berhentikan kenderaan.

"Dalam keadaan hujan lebat kenderaan petugas berjaya memintas kenderaan suspek dan petugas telah hentikan kenderaan di tepi jalan. Suspek hentikan kereta di bahu kiri jalan," menurutnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun ketika polis mengarahkan suspek untuk keluar daripada kenderaan, suspek telah memecut kenderaan ke jalan utama dan meluru ke arah seorang petugas MPV.

Tiga das tembakan kemudian dilepaskan menggunakan sub-mesingan HK-MP5 ke arah tayar hadapan sebelah kanan untuk menghentikan kenderaan suspek.

Akibat tembakan katanya, kenderaan suspek terbabas ke tepi parit, dan keempat-empat suspek melarikan diri bersama dua beg galas ke kawasan perumahan Taman Palma di sini.

"Polis ada terdengar bunyi tembakan balas dari suspek dari kawasan gelap.Kru MPV telah mengejar suspek dan berjaya tangkap dua suspek. Salah seorang suspek ditangkap bersama sebilah pisau kecil bersarung terselit di tali pinggang," katanya.

Md Zukir berkata, hasil pemeriksaan polis ke atas kenderaan lanjut menjumpai kesan darah pada bahagian pelapik kaki bahagian pemandu serta menjumpai kapak kecil, teaser gun, penyembur pemedih mata, telefon bimbit Nokia dan pasport antarabangsa Malaysia.

Pihak polis juga mendapati kedua-dua suspek yang berusia 22 dan 37 tahun mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB serta baharu tamat menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Jawi, Pulau Pinang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel Lain