suria

Penghantar Makanan Dipenjara, Didenda Ceroboh Kedai Barang Bayi

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan dipenjara lima hari dan didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh sebuah kedai menjual barangan bayi.

Majistret Nur Aminatul Mardiah Md Nor turut memerintahkan Mohd. Zamri Che Pe, 24, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 23 April lepas.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Lelaki itu didakwa bersama rakan yang masih bebas menceroboh kedai Fabulous Mom milik Chan Yin Yee, 45, di 136A, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail di sini pada 1.45 pagi, 22 April lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu peguam Nasiruddin Nordin yang mewakili tertuduh, memohon agar anak guamnya diberikan peluang kedua kerana menyesali perbuatannya dan faktor tertuduh menyerah diri di balai polis, sewajarnya diberi pertimbangan.

Pegawai Pendakwa, ASP Nom Phot memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran terhadap tertuduh. - BERNAMA

Artikel Lain