suria

Muhammad Irwan Dipilih Sertai Cabaran Ski Ke Kutub Utara

Irwan (kiri) bersama Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin selepas mengadakan sidang media di Kuching.
KUCHING: Seorang lelaki tempatan, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah akan menjadi sebahagian daripada ekspedisi ski ke Kutub Utara tahun depan, di mana suhu di sana mungkin boleh jatuh jauh di bawah paras beku -43°C.

Irwan, 36, yang juga ahli sukan ekstrem telah dipilih untuk menjadi sebahagian daripada ekspedisi itu oleh Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B).

Kumpulan ini terkenal apabila meletakkan atlet sukan ekstrem Shahrom Abdullah dalam ekspedisi 1,000km ke Kutub Selatan pada awal tahun ini.

Kesukaran perjalanan Irwan ke Kutub Utara akan bergantung kepada keadaan cuaca. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, dia akan meluncur kira-kira 220km dalam masa 21 hari untuk sampai ke Kutub Utara.

Dia mempunyai alternatif dengan menggunakan laluan 111 km yang akan mengurangkan masa perjalanan ke 12 hari.

"Saya tahu ia sukar tetapi inilah keghairahan saya. Saya mahu merasai pengalamannya. Cabarannya memberikan saya motivasi. Selain mahukan pengalaman, saya juga mahu memberi motivasi kepada orang lain.

"Itulah sebabnya kami melakukan perkara-perkara ini," kata Irwan di sini, Jumaat.

Dia akan menjalani latihan di Kem Asas Everest bulan depan sebelum ke Korea Selatan pada bulan September.

"Kemudian, kemungkinan ada lagi latihan ski di Jepun. Saya mempunyai kira-kira sembilan bulan untuk membuat persediaan."

Irwan dijangka memulakan ekspedisi KE7B itu Mac depan.

"Saya rasa cabaran terbesar adalah berdepan suhu di bawah takat beku. Paling sejuk yang pernah saya rasa adalah -40°C di Greenland. Saya masih ingat betapa ia sukar," katanya.

Ditanya mengenai motto, beliau berkata jangan pernah berputus asa, sentiasa berfikiran positif dan sentiasa mendapatkan pengalaman baru.

Irwan telah bertanding dalam 'duathlons' dan juga gemar berbasikal di gunung dan melakukan aktiviti 'white water rafting' (cabaran rakit arus deras).

Tahun ini, dia akan mengambil bahagian dalam Jelajah Basikal Selatan Pulau New Zealand, Perlumbaan Ultratrail 100 batu Bromo Tengger Semeru, Ekspedisi Berbasikal Himalaya dan Ultratrail Gunung Fuji di Jepun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Wanita Maut Dihempap Pokok

Artikel Lain