suria

Tolong Robohkan Highland Towers - Penduduk

KUALA LUMPUR: Penduduk Taman Hillview dan Taman Sri Ukay, di sini mahu dua blok kondominium terbiar Highland Towers dirobohkan selepas ia menjadi sarang penjenayah dan penagih dadah.

Presiden Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay Hillview Datuk Siti Hendon Chik, yang mewakili lebih daripada 1,000 penghuni di kedua-dua taman perumahan itu berkata, penduduk sebulat suara mahukan dua blok 12 tingkat berkenaan dirobohkan selepas satu bloknya runtuh 23 tahun lepas.

Selagi bangunan kosong itu dibiarkan, ia menjadi lokasi terbaik untuk penjenayah dan penagih dadah bersembunyi, katanya.

Beliau turut memberi amaran penduduk akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik tanah kerana enggan merobohkan bangunan itu bagi memastikan keselamatan penghuni di situ berikutan terdapat kemungkinan masih ada penjenayah bersembunyi di sana.

"Tolong lakukan sesuatu..." rayunya ketika ditemui Bernama di kediamannya.

Kira-kira 23 tahun lepas, satu daripada tiga blok Highland Towers runtuh, dan penghuni dua blok lain dipindahkan dan dikosongkan sehingga kini dan telah menjadi persembunyian penjenayah dan penagih dadah.

Pada 12 April lalu, polis menembak mati tiga daripada enam penjenayah yang dipercayai perompak, dalam serbuan yang dilakukan di satu daripada blok kondominium itu.

Insiden itu menambahkan kebimbangan penduduk di kawasan sekitarnya.

Apa yang lebih meresahkan adalah tiga daripada penjenayah berkenaan berjaya meloloskan diri daripada serbuan itu.

Siti Hendon berkata insiden tembakan itu mencetuskan rasa takut dalam kalangan penduduk di situ.

Katanya, beliau juga hampir menjadi mangsa penjenayah apabila beberapa perompak cuba memasuki rumahnya dua tahun lepas.

"Mujur, pengawal keselamatan saya nampak dua lelaki sedang mengintai di beranda. Perompak itu kemudian melarikan diri," katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Mohinder Singh, 78, yang rumahnya terletak hampir dengan pintu masuk utama ke kondominium berkenaan, turut bersependapat dengan Siti Hendon, dan meminta pemilik tanah berkenaan merobohkan baki dua blok tersebut.

Katanya, dua blok terbiar itu mendatangkan risiko keselamatan kepada penduduk berhampiran dan berharap pemilik tanah berkenaan dapat mengambil tindakan pantas untuk merobohkannya.

"Tempat itu adalah satu gangguan untuk kami kerana ia menarik perhatian penagih dadah dan perompak. Bagaimana kami boleh rasa selamat?

"Sudah 23 tahun sejak insiden itu (bangunan runtuh). Mereka mahu runtuhkan baki blok yang ada tapi sehingga ke hari ini, bangunan itu masih ada," katanya.

Presiden Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Abd Hamid Hussain berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan bank yang memiliki tanah itu untuk membincangkan isu berkenaan.

Katanya mesyuarat dijangka diadakan minggu ini dan berharap dapat mencari penyelesaian yang memenuhi keperluan penduduk sekitar.

Ditanya sama ada MPAJ akan memaksa pemilik tanah merobohkan bangunan itu, Abd Hamid berkata ia tidak mungkin dilakukan kecuali ada bukti kukuh bangunan tersebut tidak selamat dan mungkin roboh.

Beliau meminta penduduk untuk bersabar sehingga pemilik tanah mencapai keputusan sama ada untuk merobohkan bangunan itu atau sebaliknya.

Usaha Bernama mendapatkan bank itu sejak Khamis lepas ternyata sia-sia.

Tinjauan Bernama di tapak lokasi mendapati orang ramai bebas menceroboh kawasan Highland Towers. Pagar hadapannya sudah rosak dan dipotong seakan menjadi pintu kecil untuk dilalui sesiapa sahaja.

Selain itu, bangunan di situ juga tidak mempunyai pagar, menjadikannya lebih mudah diceroboh terutama melalui kawasan hutan dan belukar.

Kira-kira 500 meter dari bangunan itu terdapat kawasan perumahan yang menjadikannya sasaran mudah oleh penjenayah yang bersembunyi di sana.

Highland Towers

Artikel Lain