suria

Majlis Tilawah, Menghafaz Al-Quran Jakim Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha (dua kiri) menerima Anugerah Penganjuran Program Al-Quran Terbaik atas penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQA) daripada Timbalan Emir Kuwait, Nawaf Al-Ahmad Al-Jabir Al-Sabah pada Musabaqah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Negara Kuwait kali ke 7 di Istana Bayan Kuwait, Rabu. Hadir sama dari kiri Pegawai Penyelaras MTHQA, Abdul Karim Zakaria, Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait, Muhammad Nur Anuar Nordin dan Johan Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-7 Kuwait, Abdul Khair Jalil (dua kanan).

SEPANG: Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima Anugerah Penganjuran Program al-Quran Terbaik oleh Kuwait International Prize of Holy Quran.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata anugerah tersebut disampaikan Timbalan Emir Kuwait, Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah pada Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al-Quran Peringkat Antarabangsa Kuwait kali Ke-7 yang berlangsung pada 13 hingga 20 April.

Beliau berkata majlis tilawah dan menghafaz al-Quran yang menjangkau 58 tahun penganjurannya dipilih menerima anugerah tersebut berdasarkan pengalaman dan sumbangan dalam usaha memartabatkan al-Quran di peringkat antarabangsa sejak kali pertama dianjurkan pada 1961.

"Ini merupakan pengiktirafan tertinggi yang tidak dijangka kerana kita hanya ingin menganjurkannya secara yang terbaik tanpa mengetahui ada wakil daripada negara luar yang memerhati dan menilai apa yang dilakukan.

"Selain kelancaran program, kita dimaklumkan pemilihan itu dibuat berdasarkan kaedah atau sistem penghakiman dan pemarkahan yang digunakan yang kini turut menjadi penanda aras kepada negara lain," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Muscat, Oman di sini, Khamis.

Pada majlis yang berlangsung di Istana Bayan, Kuwait itu, Othman mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk menerima anugerah berkenaan bagi pihak kerajaan Malaysia, ditemani Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait Muhammad Nur Anuar Nordin.

Othman berkata Anugerah Penganjuran Program al-Quran Terbaik diberikan kepada penganjur program yang berperanan utama dan telah memberikan sumbangan besar ke arah usaha pembangunan al-Quran di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, peserta Malaysia Abdul Khair Jalil turut mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai johan bagi kategori tilawah sekali gus membawa pulang wang tunai RM64,460 berserta sijil penyertaan.

Abdul Khair merupakan pemenang tempat kedua dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Malaysia pada tahun lepas, katanya.

Kemenangan Abdul Khair boleh dikatakan istimewa kerana mampu menewaskan peserta daripada negara Arab, malah beliau juga dijemput untuk memperdengarkan bacaan di hadapan penonton sebelum keputusan diumumkan, katanya.-- Bernama




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain