suria

46 Rakyat Malaysia Sertai Daesh Masih Di Syria - PDRM

Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR: Seramai 46 orang rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Daesh dikesan masih berada di Syria, kata Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Khamis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka adalah di antara 73 orang rakyat negara ini yang dikenal pasti menyertai kumpulan militan itu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 19 orang didapati terbunuh di Syria atau Iraq manakala lapan orang lagi sudah pulang ke tanah air.

"Risikan terkini yang diterima (PDRM) mendedahkan bahawa seorang lagi anggota Daesh warganegara Malaysia telah terbunuh dipercayai dalam serangan di Wilayah Al Khair di Syria pada 17 April lepas," katanya kepada Bernama.

Menurutnya lelaki itu, Abd Ghani Yaakob, 31, dari Pendang, Kedah, yang turut dikenali sebagai Abu Bashir Al Malazy@Abu Kedah, ke Syria melalui LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Disember lepas untuk menyertai kumpulan Daesh.

"Dia merupakan anak kelima daripada enam beradik dan membawa diri ke Kuala Lumpur. Dia mendapat bantuan daripada Mohamad Wanndy Mohamed Jedi atau Abu Hamzah Al-Fateh sebagai orang perantaraan," katanya.

Ayob berkata duda itu adalah di antara 19 orang yang terbunuh di Syria atau Iraq dengan tujuh daripada mereka mati akibat menjadi pengebom bunuh diri manakala 12 lagi maut semasa pertempuran dengan tentera Syria.

Beliau juga memberitahu bahawa setakat ini, seramai 10 individu telah dituduh di mahkamah termasuk enam daripadanya disiasat mengikut Seksyen130JB (1)(a) Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ayob meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai rancangan aktiviti keganasan oleh mana-mana kumpulan yang terarah kepada kegiatan Daesh.

PDRM juga menjalinkan kerjasama dengan agensi tempatan dan perisikan asing dalam perkongsian maklumat keselamatan bagi mengesan individu yang terlibat dengan penyebaran fahaman militan dan pengrekrutan militan di Malaysia, katanya.-Bernama

Daesh, rakyat Malaysia, Syria

Artikel Lain