suria

SPRM Perkenal Modul Pencegahan Rasuah Di IPT

Datuk Seri Mustafar Ali
KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkenalkan modul pencegahan rasuah kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata langkah itu merupakan usaha jangka panjang SPRM mengekang jenayah rasuah dengan penglibatan masyarakat dari semua peringkat.

"Modul berkaitan pencegahan rasuah ada diajar kepada pelajar Tingkatan Enam menerusi kertas Pengajian Am, namun di peringkat IPT sama ada universiti awam atau institusi pengajian swasta, masih belum mempunyai modul itu.

"Sehubungan itu, SPRM berharap ia dapat dijadikan modul pembelajaran terutama kepada pelajar tahun akhir yang bakal memasuki bidang pekerjaan supaya mempunyai mentaliti bersih rasuah, bekerja tanpa rasuah dan menjadi juara pencegahan rasuah," katanya.

Mustafar berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kerjasama Strategik SPRM dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Rumah Tamu Seri Gelora di sini, Rabu.

Program itu, yang bermula Ahad lepas, dirasmikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan turut dihadiri Yang Dipertua MPK Datuk Fadzilla Salleh.

Mustafar juga optimis gerak kerja untuk mewujudkan modul itu dapat dilakukan secepat mungkin termasuk hal berkaitan persediaan tenaga pengajar sebelum modul itu dilaksanakan di IPT.

Beliau berkata SPRM menekankan konsep 5K dalam usaha pencegahan rasuah iaitu Kefahaman, Kesedaran, Keinsafan, Keikhlasan dan Keberhasilan yang perlu diterapkan di dalam diri setiap individu sejak awal lagi.

"Kefahaman yang baik tentang rasuah akan menyebabkan timbul kesedarannya  supaya mereka tidak menyimpang daripada prosedur yang ditetapkan semasa melakukan tugas, sama ada penjawat awam atau sektor swasta.

"Keinsafan melibatkan kesan yang akan berlaku kepada diri, keluarga dan negara jika tidak bersama-sama mencegah jenayah rasuah yang dapat melahirkan keikhlasan dalam diri.

"Jika 5K ini dapat dilakukan, ia akan menimbulkan keberhasilan, bermaksud impak dan kejayaan yang kita mahu perolehi iaitu negara bebas rasuah dan mempunyai tadbir urus yang terbaik," katanya.

Mustafar berkata usaha membanteras rasuah dan merakyatkan SPRM juga diperhebatkan menerusi penstriman radio MACC.FM bagi memberi maklumat, fakta dan penjelasan berhubung badan bebas itu.

MACC.FM bersiaran 24 jam sejak dilancarkan pada 9 Disember lepas. 

Artikel Lain