suria

SPR Pamer 111,333 Pemilih Baharu, Tukar Alamat Mengundi Mulai Esok

KUALA LUMPUR: Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Pertama 2016 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyenaraikan 111,333 permohonan pendaftaran pemilih baharu dan pertukaran alamat pusat mengundi, akan dipamerkan di 963 lokasi seluruh negara mulai Khamis sehingga 4 Mei ini.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata senarai itu melibatkan 88,078 pendaftaran pemilih baharu dan 23,255 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih sedia ada yang berdaftar dengan SPR. 

"Selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pandaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 1/2016 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 21 April 2016 hingga 4 Mei 2016 di 963 tempat pameran di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan media di sini, Rabu.

Beliau berkata sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi pada Januari, Februari dan Mac 2016 dinasihatkan menyemak RDPT Suku Tahun 2016.

Menurutnya bagi pemohonan pendaftaran baharu, jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai di dalam RDPT itu, mereka boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pendaftar (Pangarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat. 

Abdul Ghani berkata pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT Suku Tahun 1/2016 di satu-satu bahagian pilihan raya boleh berbuat demikian melalui Borang C.

Seorang pembantah hanya boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan subperaturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

"Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran RDPT Suku Tahun 1/2016," katanya.

Beliau berkata semasa tempoh pameran RDPT, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih kerana mereka didapati tidak berhak untuk terus kekal di dalam daftar pemilih atas sebab tertentu antaranya telah meninggal dunia atau lucut hak warganegara. 

Sehubungan itu, SPR menyeru semua pemohon yang berdaftar dalam tempoh 1 Jan 2016 hingga 31 Mac 2016 supaya menyemak maklumat pendaftaran pemilih di tempat-tempat yang dinyatakan. 

Semakan boleh dibuat di Pejabat Pilihan Raya Negeri (15), Pejabat Pos Berkomputer (441), Kompleks/Pejabat Kerajaan (85), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (146), Majlis Daerah/Perbandaran (63), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu (195) dan 18 lagi lain-lain tempat yang ditetapkan SPR di seluruh negara. -- Bernama


SPR, Abdul Ghani Salleh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain