suria

Lelaki Warga Indonesia Dipenjara Dua Tahun Miliki Imej, Video Pengganas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi imej dan video kegiatan beberapa kumpulan pengganas termasuk Daesh, tahun lepas. 

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Ihsan (ulang:Ihsan), 32, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap 1 Disember 2015. 

Nordin berkata sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah melihat kesalahan tertuduh adalah serius kerana dia memiliki bukan sedikit tetapi beratus imej dan video berunsur perbuatan dan kegiatan keganasan yang melibatkan kumpulan pengganas iaitu Daesh, Al- Qaeda (AQ) dan Mujahideen Indonesia Timur (MIT).

Katanya, sekiranya kesemua bahan tersebut yang ditemukan dalam telefon bimbit tertuduh disebarkan, ia boleh mempengaruhi golongan muda di negara ini untuk melakukan perkara sama. 

"Tertuduh seharusnya memikirkan bukan sahaja diri sendiri tetapi masyarakat di negara ini untuk mencari rezeki dan sumber pendapatan dalam keadaan aman dan selesa tanpa melibatkan apa-apa keganasan.  

"Dengan ini mahkamah seharusnya menjatuhkan hukuman yang berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan seterusnya bagi memastikan negara ini dalam keadaan aman dan selamat," katanya yang turut mengambil kira faktor mitigasi dikemukakan peguam. 

Pada 28 Januari lalu, Ihsan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut namun menukar pengakuan kepada bersalah hari ini selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut fakta kes, hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik tertuduh, mendapati sebanyak 147 keping imej yang berkaitan kumpulan pengganas Daesh, lapan keping gambar berkaitan kumpulan Al-Qaeda dan 10 keping lagi adalah kumpulan pengganas Mujahideen Indonesia Timur (MIT) dan Runda Kumpulan Kecil (RKK).

Dalam telefon bimbit itu juga mengandungi imej perjuangan milik seorang pengganas di Indonesia iaitu Abu Sontoso dan imej buku berunsur keganasan dan 211 video berunsur keganasan melibatkan tiga kumpulan pengganas itu.

Ihsan didakwa memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan pengganas iaitu 165 imej dan 211 video berunsur kumpulan dan perbuatan pengganas Daesh, Al Qaeda (AQ) dan Mujahideen Indonesia Timur (MIT).   

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah kongsi di Kampung Parit Abdul Rahman, Benut, Pontian, Johor Darul Takzim pada 12.05 tengah hari, 1 Dis tahun lepas.

Dakwaan itu mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawahukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana barangan tersebut. 

Terdahulu, peguam Luqman Mazlan yang mewakili Ihsan memohon mahkamah mengambil kira yang anak guamnya itu walaupun belum berkahwin perlu menanggung keluarga di Indonesia. 

Katanya, mahkamah perlu melihat anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. 

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana tindakan tertuduh dilihat cenderung untuk melakukan kesalahan yang serius. -Bernama

Miliki imej, Video Pengganas

Artikel Lain