suria

Kerajaan Johor Terbuka Cadangan Bantu Rakyat Tangani Kos Sara Hidup

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri sentiasa terbuka terhadap cadangan dan idea baharu daripada mana-mana pihak yang dapat membantu rakyat menangani kos sara hidup tinggi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata rakyat bagaimanapun harus memainkan peranan bersama dengan mengubah gaya hidup mereka ke arah yang lebih berhemah agar isu itu dapat diselesaikan secara kolektif.

"Pendekatan kita harus bersifat serampang dua mata. Pertama, kita harus bersama-sama mencari jalan untuk berhadapan dengan kos sara hidup dengan memikirkan alternatif yang baharu dan pragmatik.

"Pada masa sama, kita juga harus mula mengubah gaya hidup mewah dan mengurangkan pembaziran. Dalam satu kaji selidik dalam talian oleh iMoney.com dan msn.com, masyarakat kita didapati banyak membazirkan wang dalam 10 perkara yang kurang penting.

"Ini termasuk membeli pelbagai gajet dan aksesori elektronik yang tidak diperlukan dan menukar telefon bimbit setiap kali dilancarkan model baharu," kata beliau dalam sesi soal jawab persidangan keempat Dewan Undangan Negeri Johor yang ke-13 Rabu.

Beliau ditanya oleh Datuk Dr Adham Baba (BN-Pasir Raja) mengenai perancangan Unit Ekonomi Negeri dalam memastikan isu kos sara hidup tinggi dapat ditangani selari dengan kerancakan pembangunan dan pelaburan dalam negeri Johor.

Mohamed Khaled berkata rakyat perlu menerima hakikat bahawa peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang bersifat nasional dan global yang tidak boleh diselesaikan dengan mudah ekoran kerajaan perlu menghadapi pelbagai faktor antaranya kenaikan dan penurunan harga minyak semasa.

Namun, katanya, itu tidak bermakna kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa usaha, malah ia telah dan sedang mengambil beberapa pendekatan untuk menambah baik kesejahteraan rakyat.

Antara pendekatan itu ialah mewujudkan Kedai Komuniti Harga Patut Muafakat Johor yang merupakan rangkaian kedai barangan yang ditubuh melalui gabungan koperasi, serta memperbanyak pembinaan rumah mampu milik dan rumah transit, untuk membolehkan rumah tersebut mampu dimiliki dengan harga rendah.

"Kita juga memperluaskan perkhidmatan bas percuma di pelbagai kawasan dan memberi insentif, bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar baharu yang diterima masuk ke institut pengajian tinggi awam, serta menggandakan 100 peratus bantuan kewangan kepada 1,800 nelayan berdaftar dan layak dengan pemberian bantuan sebanyak RM2,000 seorang," katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Dr Adham yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menetapkan ketetapan tangga gaji yang sesuai bagi menangani isu sama, beliau berkata pihaknya perlu melakukan kajian terlebih dahulu.

"Kajian perlu dilakukan bagi melihat bagaimana ia berjalan dan keberkesanannya. Kajian juga sudah tentu harus mengambil kira punca serta asas pemberian bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada pelaburan dan syarikat-syarikat yang ingin membuka atau melabur di kawasan ini," katanya.

Artikel Lain