suria

Projek PR1MA Selari Garis Panduan Perancangan Kerajaan Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Bhd menegaskan bahawa semua rancangan pembangunan projeknya adalah selari dengan garis panduan perancangan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurutnya kumpulan itu mempunyai gabungan projek pembangunan bertanah dan bangunan tinggi di Pulau Pinang, dan kesemua unit rumah secara puratanya berharga 20 peratus di bawah harga pasaran kawasan persekitarannya.

"Sebahagian daripada projek terbabit sudah dikemukakan kepada negeri Pulau Pinang, dan lebih banyak lagi akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada syarat proses kelulusan yang ditetapkan. Kami kini menunggu ulasan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang penyesuaian perlu," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

PR1MA berkata setakat ini ahli perbadanan itu (MOC) telah meluluskan 246,410 unit menerusi 212 projek yang akan dibina di seluruh negara, dengan 84,132 unit kini dalam pelbagai peringkat pembinaan.

"Daripada 246,410 unit terbabit, sebanyak 20,306 unit akan dibangunkan di Pulau Pinang, dan banyak lagi akan diperuntukkan," katanya.

PR1MA berkata menurut analisis pangkalan datanya, 91 peratus yang mendaftar di Pulau Pinang, mampu memiliki rumah berharga di bawah RM400,000 dan 75 peratus daripada yang mendaftar mampu memiliki rumah berharga sehingga RM300,000.

Analisis juga menunjukkan tujuh peratus atau 88,000 daripada 1.25 juta pendaftar PR1MA adalah dari Pulau Pinang dan terdapat permintaan untuk unit besaiz lebih besar iaitu dalam lingkungan 1,000 kaki persegi hingga 1,200 kaki persegi.

"Oleh itu, PR1MA akan terus mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membina lebih banyak rumah di Pulau Pinang berdasarkan permintaan. Kami berharap dapat terus menerima sokongan daripada pemaju hartanah dan kerajaan negeri serta agensinya," katanya.

Menurutnya PR1MA akan terus bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan semua projek berjalan lancar.

"Kami berharap sama-sama meraih manfaat dengan mengutamakan kehendak rakyat," katanya.-- Bernama 



PR1MA, Pulau Pinang

Artikel Berikut

Artikel Lain