suria

Pengarah Jakoa Pahang Angkat Sumpah Sebagai Senator

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Isa Ab Hamid pada Isnin mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara untuk penggal pertama bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Isa, 49, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Abu Zahar dalam ucapannya bagi mengalu-alukan pelantikan Isa berharap anggota Dewan Negara itu terus berusaha meningkatkan ilmu dan keterampilan bagi mewakili suara Orang Asli.

"Saya percaya dengan meningkatkan ilmu dan keterampilan, Ahli Dewan Negara dapat memperkasakan, memartabatkan, menghormati dan mengikut peraturan majlis yang ditetapkan," katanya.

Sebelum ini, Isa pernah berkhidmat sebagai guru dan memegang jawatan Penolong Pengarah Kajian Kemasyarakatan di Jabatan Pelajaran Johor.

Sementara itu, Abu Zahar mengingatkan semua anggota Dewan Negara dan Parlimen agar terus taat kepada negara, mempertahankan serta melindungi Perlembagaan negara.

Mereka seharusnya berpegang kepada lafaz taat setia yang dibacakan untuk melindungi dan memelihara Perlembagaan Malaysia, katanya.

"Jangan lari daripada apa yang telah dilafazkan. Setia kepada Malaysia dan lindungilah Perlembagaan ... patuh dan manfaatkan kedudukan Yang Berhormat dengan lebih baik.

"Sekarang ini, keadaan begitu mencabar. Ahli-ahli dewan yang menentukan peraturan undang-undang dan perlulah menghormati undang-undang dan jangan langgar, kerana Yang Berhormat juga yang bertanggungjawab dalam menggubal undang-undang ini," katanya.

Sementara itu, Isa ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen berkata, beliau akan terus berjuang untuk masyarakat Orang Asli dan mengetengahkan masalah yang dihadapi mereka.

"Saya akan membantu kerajaan dalam meningkatkan pembangunan tanah masyarakat Orang Asli untuk menambahkan hasil pendapatan mereka dan akan membantu dalam sektor pendidikan dan sosioekonomi golongan itu," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik beliau untuk mewakili suara Orang Asli di Dewan Negara.

Artikel Berikut

Artikel Lain