suria

'Switch Rail' Patah, Ribuan Pengguna Komuter Terjejas

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan komuter bagi semua laluan sedang menghadapi gangguan berikutan 'switch rail' di stesen Kuala Lumpur patah.

Perkara ini disahkan Ketua Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ridwan Arshad yang sekali gus menyangkal dakwaan bahawa landasan komuter telah patah.

Beliau berkata suis tersebut rosak di stesen utama sehingga menyebabkan laluan terganggu.

Namun sebaik mendapat laporan mengenai kerosakan itu, pihakya menerusi Jabatan Urusan Jalan KTMB segera memulakan kerja memperbaiki suis, katanya.

"Perkara itu kami dapat tahu kira-kira pukul 7 pagi tadi (waktu puncak) dan kerja pembaikan sedang dijalankan sehingga kini.

"Ekoran kerosakan itu, perkhidmatan KTMB kini hanya menggunakan satu lorong yang sekali gus akan menyebabkan kelewatan perkhidmatan antara 20 hingga 30 minit," katanya.

Ridwan berkata pihak KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.

"Kami sedar ia berlaku pada waktu puncak dan kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna," katanya.

Ribuan penumpang yang terjejas dengan perkara tersebut dilihat terpaksa mencari pelbagai pengangkutan alternatif untuk ke tempat kerja atau destinasi lain sehingga ramai yang kelewatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain