suria

Debat Batal Lebih Baik Buat Anak Anda, Kata Rahman Dahlan Kepada Kit Siang

Abdul Rahman Dahlan.

PETALING JAYA: Pembatalan debat mengenai dua isu hartanah di Pulau Pinang mendatangkan lebih kebaikan buat Lim Guan Eng, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Debat antara anak Kit Siang iaitu Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Abdul Rahman dibatalkan pada Sabtu berikutan nasihat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kasihan Rahman - terpaksa diselamatkan oleh SPRM/IGP (Ketua Polis Negara) dari debat bersama Guan Eng, yang akan membuktikan 'tong kosong bunyinya sahaja kuat," kata Kit Siang di twitter.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun membalasnya dengan menjelaskan bahawa pembatalan itu adalah lebih baik buat Guan Eng.

"Pembatalan ini adalah lebih baik buat anak anda. Bagi mengelakkan beliau dari mengakibatkan prejudis dan menunjukkan kesalahan sendiri," katanya pada Ahad.

Pada Jumaat malam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa stesen televisyen supaya menghentikan debat secara siaran langsung sehingga kes berkenaan selesai.

SPRM turut menggesa kedua-dua Abdul Rahman dan Guan Eng tidak meneruskan debat, sebaliknya menyerahkan sebarang maklumat dan bukti kepada pihak berkuasa.

TV3 mengesahkan debat tersebut ditunda. Tarikh baharu berhubung debat itu akan diumumkan kemudian.

Abdul Rahman menyuarakan kekecewaannya mengenai pembatalan itu dan menyifatkan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang "dikesali".

Guan Eng masih berharap debat diadakan secara langsung, sambil menambah bahawa keputusan pembatalan itu sebagai "tidak adil".

Terdahulu, Abdul Rahman mencabar Guan Eng untuk mengadakan debat secara umum mengenai dua isu hartanah di Pulau Pinang selepas beliau mendakwa mempunyai bukti baharu membabitkan ketua menteri itu.

Artikel Lain