suria

PRN Sarawak: Pemimpin SPDP Adakan Mesyuarat Tergempar

Gambar fail Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing (kanan) bercakap dengan Datuk Henry Harry Jinep (kiri) semasa majlis bertemu rakyat di Bau. Turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Mas Gading, Anthony Nogeh Gumbek. Foto ZULAZHAR SHEBLEE/The Star

MIRI: Pemimpin Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengadakan mesyuarat tergempar berhubung keadaan mereka yang 'terpaksa' keluar dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang secara tradisinya dimiliki parti itu.

Ketua bahagian SPDP di seluruh negeri mengadakan mesyuarat bersama presiden parti, Datuk Seri Tiong King Sing dan ahli majlis tertinggi SPDP di beberapa bandar dan pekan.

SPDP merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak.

The Star difahamkan bahawa satu mesyuarat diadakan di Bintulu pada Jumaat malam, manakala satu mesyuarat tergempar majlis tertinggi akan diadakan di Sibu pada Ahad.

King Sing dan pemimpin parti mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai perkembangan terbaharu selepas kerusi DUN Bekenu, Tasik Biru, Meluan dan Batu Danau diberikan kepada calon langsung BN dari Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), manakala kerusi baharu Samalaju dan Mulu diberikan kepada calon langsung yang dikaitkan dengan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB).

Teras ditubuhkan oleh bekas pemimpin SPDP yang keluar dari parti itu dua tahun lalu berikutan pertikaian terhadap kepimpinan dalaman.

Teras mengisytiharkan sebagai parti mesra BN. 

Awal minggu ini, Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menamakan pemimpin-pemimpin Teras sebagai calon bagi beberapa kerusi DUN yang sebelum ini kepunyaan SPDP.

Adenan berkata, calon langsung boleh menyertai mana-mana parti komponen BN atau parti mesra BN selepas kemenangan mereka pada pilihan raya negeri 7 Mei depan.

Sumber SPDP berkata, King Sing berada di Bintulu bersama para pemimpin parti bagi membincangkan mengenai peruntukan kerusi, sambil menambah bahawa sesuatu yang bahaya sekiranya enam daripada 10 kerusi DUN yang sepatutnya diperoleh SPDP, diberikan kepada Teras.

"SPDP merupakan rakan setia bersama BN di peringkat negeri dan negara.

"Kami tidak sepatutnya diberikan layanan seperti ini.

"Kerusi-kerusi yang secara tradisi adalah milik kami seharusnya diberikan semula kepada kami.

"Adenan tidak memaklumkan kami dalam SPDP sebelum beliau menamakan pemimpin-pemimpin Teras sebagai calon langsung BN untuk kerusi berkenaan yang dimiliki SPDP.

"Kami terkejut dan sangat kecewa," katanya.

Tambahnya, tindakan seterusnya akan diperbincangkan dalam mesyuarat tergempar majlis tertinggi di Sibu.

Artikel Lain