suria

Jangan Lagi Keliru Dakyah Pembangkang Mengenai 1MDB - Azalina

Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap rakyat semakin jelas berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak lagi terpedaya dengan tuduhan golongan yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kenyataan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir pada Khamis bahawa sumbangan derma kepada Najib memang datang dari negara itu, menunjukkan apa dicanang pembangkang dan kumpulan Deklarasi Rakyat selama ini adalah tidak benar. 

Beliau berkata sebelum ini, ramai yang mempertikaikan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa wang derma itu datang daripada Arab Saudi, bukannya daripada 1MDB.

Namun, katanya, kumpulan Deklarasi Rakyat terus mengelirukan rakyat dengan menuduh perdana menteri terlibat menyeleweng dana 1MDB.

"Terbaru, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut membuktikan yang perdana menteri tidak terlibat dalam apa-apa salah laku dalam urusan syarikat 1MDB. Jadi siapa yang berbohong selama ini?" katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Azalina berkata bulan lepas, Australian Broadcasting Corporation (ABC) turut mendedahkan mengenai surat daripada keluarga diraja Arab Saudi dengan menyatakan derma yang diberikan sebagai hadiah atas usaha Najib mempromosikan Islam serta memerangi keganasan dan ekstremisme, termasuk melancarkan Gerakan Kesederhanaan Global. 

Pendedahan itu bagaimanapun dilaporkan secara berat sebelah oleh Wall Street Journal (WSJ) yang tidak henti-henti menyerang perdana menteri, katanya.

Ketika bercakap kepada wartawan Malaysia di Istanbul pada Jumaat, Menteri Luar Arab Saudi itu dipetik sebagai berkata: "Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan." 

Mohamed Apandi pada 26 Januari lepas, telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd., dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. - Bernama

Azalina Othman Said, 1MDB

Artikel Lain