suria

Silakan YB Tony, Saya Terima Cabaran Debat - Arul Kanda

Arul Kanda (kiri) terima cabaran debat Tony Pua (kanan).

PETALING JAYA: Presiden 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy menyahut cabaran Tony Pua untuk berdebat berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

Arul Kanda dalam satu kenyataan pada Jumaat mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu pada Khamis yang menggelar beliau sebagai penipu dan meminta beliau meletakkan jawatan dari 1MDB sebelum mencabar untuk mengadakan debat.

"Adalah jelas YB Tony keliru. Dia tidak tahu sama ada dia 'suka atau benci' saya.

"Dia kata saya patut letak jawatan, kemudian dia kata saya perlu berdebat dengan dia," kata Arul Kanda.

Arul Kanda turut memberitahu bahawa beliau berharap Pua yang merupakan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah berunding dengan Speaker Dewan Rakyat sebelum memberikan cabaran itu.

"Bagi mengelak menanggung buat kali kedua, saya berharap YB Tony merujuk kepada Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum memberi cabaran debat ini," katanya.

Arul Kanda berkata, walaupun Pua menyoal beliau selama dua hari semasa pendengaran PAC, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu masih mahu "menghabiskan masa berkualiti" dengan beliau.

"Saya terima cabaran debat. Silakan!," katanya.

Pada 7 April lau, laporan PAC setebal 106 halaman mengenai 1MDB dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ia merupakan kali kedua Pua mencabar Arul Kanda untuk berdebat secara langsung mengenai 1MDB.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, bagi melindungi integriti Parlimen, Pua perlu meletakkan jawatan dari PAC terlebih dahulu sekiranya beliau mahu berdebat dengan Arul Kanda.

Arul Kanda Kandasamy, Tony Pua, 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain