suria

Sambungan Jajaran LRT Laluan Kelaja Jaya Beroperasi 30 Jun Ikut Jadual

KUALA LUMPUR: Penyambungan Jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya akan beroperasi pada 30 Jun seperti dijadualkan.

Dalam kenyataan hari ini, Prasarana berkata, projek itu kini berada di fasa akhir dengan tumpuan kepada ujian, kerja-kerja penyudahan dan pembersihan bagi memastikan semua sistem berjalan lancar.

Menurut ketua pegawai eksekutif Prasarana Datuk Zohari Sulaiman, pihaknya telah menjalankan latihan simulasi Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) untuk menguji kesiapsiagaan pasukan operasi dan kesiapsiagaan sistem dan kemudahan.

"Saya berpuas hati bahawa semuanya berjalan lancar termasuk latihan simulasi ERP hari ini," kata beliau dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata latihan simulasi ERP itu diadakan di stesen Subang Alam sebagai sebahagian daripada aktiviti pra pelancaran.

Beliau berkatra latihan simulasi itu membolehkan pihaknya mengkaji pelan kecemasan, program, dasar, peranan dan tanggungjawab serta menjadi latihan bagi kakitangan menguji keupayaan dan mengenal pasti kelemahan jika ada.

Projek penyambungan LRT Laluan Kelana Jaya meliputi jarak 17.4 kilometer bermula dari stesen Kelana Jaya dan melalui dua belas stesen baharu termasuk  Ara Damansara, Subang Jaya dan USJ sebelum berakhir di Putra Heights.

Selain stesen Subang Alam dan stesen bersepadu Putra Heights, stesen lain ialah Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, Subang Jaya, SS 15, SS 18, USJ 7, Taipan, Wawasan, USJ 21 dan Alam Megah.

Laluan baharu Kelana Jaya dihubungkan dengan rangkaian komuter KTM di stesen Subang Jaya dan Laluan Bas Rapid Transit Laluan Sunway di stesen USJ 7 bagi memastikan perjalanan lebih lancar.

Melalui perluasan rangkaian ini, jajaran LRT Kelana Jaya akan meliputi perjalanan sejauh 46.4 kilometer melalui kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk seperti Petaling Jaya, Bangsar, Taman Melati, Setiawangsa dan pusat perniagaan Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Lain