suria

Pejabat Guan Eng Buat Laporan Polis Isu Tweet Palsu

GEORGE TOWN:Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung tweet palsu mengenai Dr Zakir Naik yang didakwa dimuat naik di akaun Twitter Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Isnin.

Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Zaidi Ahmad berkata pihaknya mendapati satu 'screenshot' memaparkan status yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap Guan Eng.

Status melibatkan tokoh pendakwah antarabangsa dari India itu menjadi viral petang semalam, kononnya memuatkan kenyataan Guan Eng yang akan memastikan pendakwah terkenal itu disekat daripada masuk ke Pulau Pinang dan meminta rakyat menolaknya.

"Hasil semakan mendapati sememangnya tiada tweet sedemikian yang ditulis Guan EngLim dalam akaun Twitter Ketua Menteri," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P.Ramasamy melahirkan rasa kesal kerana memberi label yang negatif terhadap Dr Zakir Naik menerusi laman Facebook rasminya sehingga menimbulkan kemarahan orang Islam di negara ini.

Beliau yang mengakui memuat naik status itu pada Ahad telah memadamkan perkataan itu daripada status berkenaan pada hari sama.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berkata pihaknya menerima beberapa laporan polis berhubung status yang dimuat naik Ramasamy itu. 

Dalam perkembangan lain, Thaiveegan berkata lelaki yang ditahan di Kangar, Perlis, Jumaat lepas, kerana memuat naik status berbaur penghinaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dibawa ke Pulau Pinang dan direman dua hari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata peniaga berumur 50-an itu ditahan selepas disyaki menulis kata-kata berbaur penghinaan menerusi ruangan status di Facebook menggunakan akaun palsu bagi mengelak dikesan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.-- Bernama


Artikel Lain