suria

Dua Beradik Menyamar Kerabat Diraja Kelantan Didenda RM1,500

Dua beradik Pong Ah Choy, 44, (kanan) dan Pong Kim Seng, 41, keluar dari Mahkamah Majistret, selepas menghadapi pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai seorang kerabat Diraja Kelantan bagi melepaskan diri daripada pemeriksaan polis, Mac lalu.

PETALING JAYA: Dua beradik masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menipu dengan menyamar sebagai anggota kerabat Diraja Kelantan bagi melepaskan diri daripada pemeriksaan polis.

Majistret Atiqah Abdul Karim menjatuhkan hukuman itu terhadap penyelia syarikat kuari Pong Ah Choy, 44, dan pembantu restoran, Pong Kim Seng, 41, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah semasa kes itu disebut hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Datuk Ho Yuk Yuen menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda itu. Mereka membayar denda itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menunjukkan sekeping kad berwarna kuning tertera Pertubuhan Keturunan Diraja Kelantan Asal berserta nama, nombor kad pengenalan serta gambar bagi melepaskan diri daripada pemeriksaan oleh Lans Koperal Mohd Yusof Mohd Nor, 28.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di perkarangan Stesen Minyak Shell, Taman Jaya, Bukit Petaling Puchong di sini pada 24 Februari lepas mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Ho memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan mereka perlu menanggung keluarga selain menyesal dan insaf atas kesalahan yang telah dilakukan. -- Bernama 


Pong Ah Choy, Kelantan

Artikel Lain