suria

Telur Tak Dibasuh Punca Keracunan Makanan Di Tapah

- Gambar hiasan
IPOH: Telur tidak dibasuh yang digunakan untuk memasak roti jala merupakan punca keracunan makanan dalam kalangan guru dan pelajar Sekolah Menengah Sains Tapah minggu lepas, dan bukannya kari ayam.

Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Juwita Ghazali berkata keputusan analisis makmal kesihatan awam pada Sabtu lepas mendapati roti jala itu dicemari tiga bakteria iaitu Salmonella, Bacillus Cereus dan E.coli.

"Roti jala itu dicemari bakteria yang dipercayai berpunca daripada tangan pembuat roti jala yang tidak dibasuh selepas memecahkan telur yang kulitnya terdapat najis ayam dan tanah," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelan Tindakan Kesihatan Alam Sekitar Negeri (SEHAP) di sini, Isnin.

Beliau berkata pegawai Pejabat Kesihatan Batang Padang juga menjalankan pemeriksaan di rumah pembekal roti jala itu di Bidor pada Sabtu lepas.

"Hasil pemeriksaan mendapati bekas telur yang terdapat kotoran telah diguna semula untuk meletak telur yang baharu dibeli," katanya sambil memberitahu bahawa roti jala itu turut dibekalkan kepada pembeli lain.

Dr Juwita berkata tahap kebersihan rumah pembekal roti jala itu yang hanya mencapai 48 peratus, telah diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pada 2 April lepas, seramai 43 pelajar dan seorang guru sekolah berkenaan mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menikmati hidangan roti jala bersama kari ayam yang dihidangkan di dewan asrama untuk makan lewat malam.

Bagaimanapun, jumlah itu meningkat kepada 63 orang dengan 28 daripada mereka menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tapah.

Artikel Lain