suria

Debat Dengan Abdul Rahman Untuk Dapatkan Kebenaran - Guan Eng

Datuk Abdul Rahman Dahlan (kiri) dan Lim Guan Eng.
PETALING JAYA: Lim Guan Eng berkata debat dengan Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenai urusan tanah di Taman Manggis  perlu dilakukan bagi mendapatkan kebenaran tentang isu itu.

Katanya Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu membuat keputusan mengenai tarikh debat secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Ketua Menteri Pulau Pinang berkata beliau menghormati pandangan pihak-pihak tertentu yang menuntut debat itu dibatalkan, tetapi ia perlu diteruskan dalam semangat demokrasi yang sihat dan demi kepentingan 'mencari kebenaran daripada fakta-fakta'.

Katanya beliau telah menyahut cabaran Abdul Rahman pada Khamis lalu, dengan menjawab  bahawa beliau 'tidak sabar' menunggu ia diadakan.

Guan Eng kemudian berkata, beliau terkejut apabila Abdul Rahman menangguhkannya kerana beliau akan ke luar negara dan hanya akan kembali pada 15 April.

Kemudian, Guan Eng mencadangkan bahawa beliau akan menetapkan tarikh akhir selama seminggu iaitu sehingga malam 16 April untuk debat dengan Abdul Rahman diadakan, 'sebagai menguji keikhlasan dan komitmen untuk ia diteruskan'.

Beliau berkata memandangkan Abdul Rahman akan kembali pada 15 April, tidak ada sebab untuk beliau tidak berdebat dengannya pada hari berikutnya.

Panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendesak agar debat antara Abdul Rahman dan Guan Eng dibatalkan, kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Artikel Sebelum