suria

PRN Sarawak: Dua Muka Baharu Antara Lima Calon Pemuda BN

Datuk Seri Fadillah Yusof
PUTRAJAYA: Dua muka baharu antara lima calon yang akan mewakili Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam pilihan raya negeri ke-11, kata Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Fadillah Yusof.

"Insya-Allah, kami yakin boleh menang berdasarkan maklum balas rakyat yang  positif terhadap BN dan (Ketua Menteri) Tan Sri Adenan Satem," katanya.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini untuk membincangkan tarikh bagi penamaan calon dan tarikh pilihan raya.

Beliau berkata Pemuda BN Sarawak sudah bersedia untuk pilihan raya dan sedang mengadakan jerayawara di kawasan pilihan raya dan bahagian.

Fadillah berkata beliau berkongsi pandangan Adenan bahawa BN akan memenangi sekurang-kurangnya 60 hingga 70 kerusi dalam pilihan raya negeri itu.

Sebanyak 82 kerusi dipertandingkan, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya, ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Rakan Projek Pelaksana (PDP) untuk mengurus dan melaksana pembinaan 706 kilometer (km) Lebuhraya Pan Borneo Sabah, di sini.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata isu seperti 1Malaysia Development Berhad(1MDB) tidak memberi kesan yang ketara dalam pilihan raya negeri.

"Saya rasa apa yang lebih penting ialah apa yang Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah lakukan untuk rakyat Sarawak.

"Mereka sangat gembira dan semua isu-isu ini seperti 1MDB tidak memberi kesan yang banyak ke atas pengundi dan pilihan raya," katanya.

Artikel Lain