suria

Gantung Operasi: Pemilik Rayani Air Mohon Maaf

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran memohon maaf kepada semua penumpang yang berhadapan kesulitan disebabkan perkhidmatan syarikat penerbangan itu sejak beberapa minggu lalu.

Permohonan maaf secara terbuka itu dibuatnya menerusi laman media sosial, Facebook pada Ahad.

"Dengan rasa rendah diri saya CEO Rayani Air memohon jutaan maaf kepada semua penumpang-penumpang setia syarikat penerbangan kami yang telah mengalami kesulitan secara langsung atau tidak langsung selama beberapa minggu ini.

"Kami di Rayani Air amat berdukacita di atas kekurangan perkhidmatan kami dan akan cuba perbaiki sedikit masa lagi. Teruslah menyokong syarikat penerbangan kami," katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi mStar Online, Ravi berkata, beliau ingin mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" berhubung notis penggantungan operasi syarikat penerbangannya.

"Kita tunggu sehingga esok (Isnin).

"Diharap Rayani Air kekal relevan untuk semua lapisan masyarakat dan mampu terus terbang tinggi," katanya secara ringkas pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Ahad bahawa Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menghantar notis penggantungan operasi sementara kepada Rayani Air pada Isnin.

Ia susulan pengumuman syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu menggantung operasinya pada Sabtu.

Mengenai kenyataan Ravi di Facebook, beliau turut mengakui banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari Rayani Air memandangkan ia syarikat penerbangan baharu di negara ini.

Selain memohon maaf, Ravi turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang pernah menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan itu.

"Terima kasih buat semua kakitangan Rayani Air yang sentiasa bersama-sama di masa jatuh bangun syarikat ini. Rayani Air akan kembali. Tunggu!!!," ujar Ravi.

mStar Online pada Sabtu melaporkan bahawa Rayani Air mengumumkan syarikat penerbangan itu menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat lalu sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula syarikat.

Ia susulan pembatalan beberapa penerbangan pada Jumaat disebabkan oleh mogok yang dilancarkan juruterbangnya.

Menurut Tiong Lai, syarikat penerbangan tidak sepatutnya mengantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA.

"Rayani Air akan digantung di bawah Peraturan 87 (1) Peraturan Penerbangan Awam 1996 dan proses audit akan dilakukan oleh DCA untuk memastikan syarikat itu layak untuk terus beroperasi," kata Tiong Lai.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, audit akan dilakukan ke atas syarikat terbabit dan jabatan itu akan turut memberi ruang kepada Rayani Air bagi memberi penjelasan dan penerangan mengenai pengoperasian syarikat terbabit.


Artikel Lain