suria

Minda Buat Laporan Polis Terhadap Sarawak Report

Ramesh ketika sidang media pada Sabtu.

PETALING JAYA: Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia (Minda) membuat laporan polis terhadap Sarawak Report dan Radio Free Sarawak kerana didakwa mencemarkan imej negara di mata dunia.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah di sini Khamis lalu.

Penasihat undang-undang Minda, Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata NGO itu menerima 'maklumat rasmi' untuk menafikan 78 artikel dari 2010 hingga 2015 yang dilaporkan mengenai kaum Penan dan juga isu alam sekitar di negeri itu.

"Sarawak Report dan Radio Free Sarawak masing-masing beroperasi di London dan artikel mereka tersebar di seluruh negara. Artikel tersebut menjejaskan nama baik negara," katanya pada sidang media di sini Sabtu.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak telah membantu kaum Penan dengan membina pusat perkhidmatan luar bandar, klinik dan sekolah.

NGO itu turut menunjukkan tayangan video semasa sidang media itu yang memperincikan inisiatif kerajaan Sarawak dalam membantu kaum Penan.

Zakwanhafiz turut berharap agar rakyat Malaysia terutama penduduk di Sarawak tidak akan tertipu dengan laporan portal berita dan stesen radio tersebut.

Beliau berkata Minda akan membawa perkara itu ke perhatian 'tahap tertinggi' di peringkat antarabangsa dengan membuat laporan kepada Peguam Negara Switzerland kerana Bruno Manser Fund yang berpangkalan di Switzerland membiayai Sarawak Report.

Minda juga akan membuat laporan kepada Peguam Negara Britain kerana Sarawak Report berpangkalan di London.

Presiden Minda, Datuk Ramesh Rao berkata dakwaan mengenai wanita kaum Penan dirogol adalah tidak benar tetapi mereka sebenarnya diberi layanan dengan baik.

Beliau mendakwa Minda juga akan membuat laporan kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat mengenai maklumat tidak tepat berhubung kaum Penan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain