suria

Mara Pelawa Kerjasama Kerajaan Negeri Tubuhkan MRSM

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menandatangani plak perasmian MRSM Imtiaz YT Ketengah di Bandar Al- Muktafi Billah Shah, Sabtu. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri).

DUNGUN: Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) mempelawa lebih banyak kerajaan negeri bekerjasama dengannya menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata usahasama itu dapat menjimatkan kos pembinaan sesebuah MRSM yang mencecah RM50 juta setiap satu.

Beliau mengambil contoh kerajaan Terengganu yang menubuhkan MRSM Imtiaz dengan kerjasama Yayasan Terengganu yang dimiliki kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Bukit Besi, Sabtu.

"Sebelum ini, terdapat MRSM yang diwujudkan hasil kerjasama Mara dengan Kementerian Pertahanan (MRSM Terendak, Melaka); Polis Diraja Malaysia (MRSM PDRM Kulim, Kedah) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (MRSM Felda Trolak, Perak).

"Dengan kerjasama kerajaan Terengganu ini, kita dapat jimat dari segi kos pembinaan minima RM50 juta dan hanya menumpukan kepada kos pengurusan seperti gaji guru dan hal berkaitan pentadbiran.

"Sehubungan itu, kementerian sangat menggalakkan mana-mana kerajaan negeri yang berminat menjalin kerjasama ini yang memberi banyak manfaat kepada semua pihak terutama pendidikan di negeri itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian MRSM-Imtiaz yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di sini, Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kerjasama seumpama itu dapat memastikan lebih banyak pelajar diberi peluang melanjutkan pelajaran ke MRSM memandangkan bilangan pelajar cemerlang yang terlalu ramai ketika ini.

"Ketika ini, Mara menerima 52,385 permohonan kemasukan ke Tingkatan Satu, namun kita hanya tawarkan tempat kepada 7,500 pelajar sahaja, manakala 21,084 permohonan untuk ke Tingkatan Empat tetapi tempat yang ditawarkan hanya 2,000 pelajar sahaja," katanya.-- Bernama

MRSM, Ismail Sabri Yaakob, Ketengah

Artikel Lain