suria

TMJ Rasmi Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato' Onn

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (depan) berkenan bersalaman dengan jemaah masjid selepas merasmikan Masjid Bandar Dato Onn, Jumaat. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. -fotoBERNAMA
JOHOR BAHARU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat berkenan merasmikan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn di sini.

Baginda turut menunaikan solat Jumaat dengan diimamkan Imam Abdullah Embong, yang juga Eksekutif Agama Waqaf An-Nur Corporation Bhd.

Turut berangkat Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, exco-exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Masjid Sultan Iskandar yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Bandar Dato' Onn dibina Johor Land Bhd (JLand) iaitu syarikat Kumpulan JCorp dengan kos RM28 juta di kawasan seluas 2.2 hektar.

Ia merupakan masjid keenam dan terbesar dalam rangkaian Masjid An-Nur JCorp dan mampu memuatkan sehingga 4,600 jemaah dalam satu masa.

Mula dibina pada pertengahan 2013 dan siap pada penghujung tahun lepas, Masjid Sultan Iskandar berperanan sebagai pusat ibadah, pusat kegiatan komuniti sosial dan agama, pusat pendidikan serta pemangkin pembentukan masyarakat khususnya penduduk Bandar Dato' Onn serta kawasan sekitar.

Antara kemudahan yang disediakan di masjid yang operasinya diurus Waqaf An-Nur Corporation tersebut termasuk pejabat pengurusan, bilik kuliah dan pengajian, perpustakaan serta dewan.

Kamaruzzaman dalam kenyataan yang diedar kepada media berkata, Waqaf An-Nur Corporation Berhad telah mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk membenarkan masjid tersebut memulakan solat Jumaatnya pada 8 Januari lepas di mana Tunku Ismail berkenan berangkat untuk bersama-sama rakyat bersolat di situ.

Beliau berkata Masjid Sultan Iskandar juga telah mematuhi standard dan spesifikasi Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang JLand sebagai pemaju masjid tersebut telah dianugerahkan sijil CLASSIQ pada 7 Mac lepas.

Artikel Lain