suria

Lembaga Pengarah 1MDB Kerap Diberi Maklumat Tidak Tepat - PAC

PETALING JAYA: Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berulang kali diberi maklumat tidak tepat oleh pihak pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Antara contoh-contoh yang diketengahkan PAC dalam laporannya mengenai 1MDB adalah lembaga pengarah itu diberitahu oleh pihak pengurusan bahawa perjanjian usahasama ditandatangani pada 28 September 2009 dan kenyataan akhbar pada 30 September 2009 mengumumkan majlis menandatangani perjanjian tersebut merujuk kepada PertoSaudi Holdings (Cayman) Ltd sebagai "PSI" manakala resolusi bertulis daripada pengarah tunggal syarikat yang ditandatangani oleh Tarek Obaid merujuk kepada syarikat yang sama sebagai "PSH".

"Empat syarikat berbeza didaftarkan menggunakan nama PetroSaudi iaitu PetroSaudi International Ltd, yang ditubuhkan di Arab Saudi; PetroSaudi International dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd, yang ditubuhkan di Kepulauan Cayman dan Petrosaudi International Ltd yang ditubuhkan di Seychelles," kata PAC.

Menurut PAC, pada 28 September 2009, perjanjian usaha sama telah ditandatangani dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd, dan lembaga pengarah 1MDB tidak menyedari bahawa "PSI" dalam perjanjian itu merujuk kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.

"Ini menunjukkan bahawa singkatan 'PSI' telah digunakan dalam perjanjian usaha sama seolah-olah memberi gambaran bahawa PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd adalah entiti yang sama dengan PetroSaudi International Ltd," kata PAC.

Menurut laporan itu lagi, Pengarah Eksekutif Pembangunan Perrniagaan 1MDB Casey Tang berkata, projek usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi merupakan perkara berkaitan kerajaan dengan kerajaan pada mesyuarat lembaga pengarah pada 18 September 2009.

"Pemeriksaan daripada laman web PetroSaudi International Ltd mendapati bahawa syarikat itu hanya ditubuhkan pada tahun 2005 dan merupakan sebuah syarikat milik persendirian tanpa ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi," kata PAC.

1MDB, PAC

Artikel Lain