suria

Kes Bunuh Kevin Morais: DNA Asing Ditemukan Pada Barang Kes

KUALA LUMPUR: Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Tinggi pada Khamis dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais bahawa satu DNA asing ditemukan pada kesan darah di atas wayar.

Nor Aidora Saedon, 43, dari Seksyen Forensik DNA Jabatan Kimia Malaysia, berkata profil DNA itu bercampur daripada dua individu.

"Profil DNA individu kedua itu adalah berbeza daripada sampel yang diperolehi daripada adik beradik kandung Kevin Morais iaitu David Ramesh dan Richard Dilaan.

"Saya kenal pasti penyumbang profil DNA tersebut sebagai 'Male 1' (Lelaki 1)," katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Beliau turut memaklumkan spesimen tisu dan tulang berlabel "unknown" (tidak diketahui) adalah sepadan dengan profil DNA David dan Richard.

Nor Aidora merupakan saksi pendakwaan kesembilan telah berkhidmat di jabatan itu sejak 1998 ditugaskan untuk menganalisis berkaitan DNA ke atas bahan bukti biologi untuk kes bunuh, rogol, dan pengenalpastian mayat.

Katanya bagi kes bunuh itu, laporan analisis bertarikh 22 Sept 2015 itu dibuat berdasarkan barang kes yang diterimanya daripada pegawai penyiasat ASP Wan Abdullah Wan Said pada 11.40 pagi, 17 Sept 2015 dan 1.46 tengah hari, 18 Sept 2015.

Dalam prosiding itu, Nor Aidora menunjukkan 59 barang kes antaranya sepasang sarung tangan getah, guni, cincin, rantai leher dan loket, tali pinggang, seluar dan kemeja, yang kesemuanya mempunyai kesan darah.

Sementara itu, bilik mahkamah turut berbau busuk dipercayai daripada tisu, tulang dan barang-barang yang mempunyai cairan biologi sehingga pihak  pendakwaan, pembelaan, wartawan, dan orang awam terpaksa menutup hidung masing-masing dan ada juga yang keluar dari bilik mahkamah.

Ekoran bau busuk tersebut, Hakim Azman membenarkan permohonan Wan Shaharuddin supaya Nor Aidora membuka guni yang digunakan mengisi mayat Kevin Morais, di luar mahkamah.

Sebelum perbicaraan ditangguhkan, peguam V. Rajehgopal, mewakili tertuduh S.Ravi Chandaran, 45, memaklumkan kepada mahkamah berhubung kejadian ugut terhadap anak guamnya.

Beliau berkata Ravi mendakwa menerima ugutan bunuh daripada seorang saksi ketika waktu makan tengah hari semalam dan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Ketika ditanya Hakim Azman, tertuduh menjawab "Ya, saya diugut. Saya mohon untuk membuat laporan polis".

"Saya tidak pasti sama ada tertuduh boleh dibawa keluar ke balai polis atau buat laporan di mahkamah, terpulang pada Timbalan Pendakwa Raya," kata hakim.

Semalam lapan saksi memberi keterangan termasuk Datuk Richard Morais, adik bongsu Kevin Morais dan jurufoto polis.

Pada 27 Jan lepas, enam lelaki - G.Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A. K Thinesh Kumar, 23, M. Vishwanath, 26, S.Nimalan, 23, dan Ravi Chandaran, didakwa membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kol Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa yang mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama.

Gunasekaran, Vishwanath, Nimalan dan Ravi Chandaran diwakili peguam  Rajehgopal manakala Dinishwaran dan Thinesh Kumar diwakili peguam M.Manoharan dan peguam Datuk N.Sivananthan mewakili Dr Kunaseegaran.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel Lain