suria

1MDB: RM42 Bilion Tidak Hilang, Dakwaan Mahathir Tidak Betul - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berkata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan RM42 bilion tidak hilang daripada syarikat itu seperti didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata di samping menunjukkan bahawa dakwaan dibuat oleh Dr Mahathir itu adalah tidak betul, laporan itu telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam struktur modal dan pengurusan 1MDB.

"Kami akan teliti dan bertindak ke atas syor-syor dalam laporan itu.

"Kami akan memastikan pengajaran diambil daripadanya, dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang bukti kesalahan telah dilakukan," katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan itu, yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis.

Najib berkata kini sudah jelas bahawa dakwaan dilemparkan Dr Mahathir terhadap 1MDB didorong oleh kepentingan peribadi, "bukan kepentingan negara, dan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan".

Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Kabinet pada Mac 2015 untuk meminta Ketua Audit Negara menjalankan siasatan bebas ke atas akaun kewangan  1MDB susulan pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap 1MDB, seperti dakwaan Dr Mahathir bahawa RM42 bilion telah hilang.

"Untuk memastikan ketelusan proses ini, kami juga telah mengarahkan supaya dapatan-dapatan itu dihantar untuk semakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang - sebuah badan dwipartisan yang turut dianggotai anggota Parlimen pembangkang," katanya.

Najib berkata selepas melalui proses yang lengkap dan menyeluruh, PAC hari ini mengeluarkan laporan mengandungi dapatan-dapatannya di Parlimen.

"Laporan ini mewakili konsensus oleh anggota PAC, dan dapatan-dapatannya adalah berdasarkan fakta dan beratus-ratus jam menyemak dan menyiasat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana mengeluarkan laporan yang komprehensif, konklusif dan muktamad.

"Selepas membacanya, saya mendapati laporan PAC menunjukkan bahawa RM42 bilion tidak hilang daripada 1MDB, seperti didakwa oleh Tun Mahathir," katanya.

Najib berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap "pelan ekonomi dan memperkukuhkan ekonomi - yang terus menunjukkan daya tahan dalam berdepan cabaran-cabaran global".

1MDB, PAC

Artikel Sebelum

Artikel Lain