suria

Musim Panas Jejas Tanaman Sayur-Sayuran, Buah-Buahan

Pengerusi Persatuan Penanam Pomelo Tambun Chin Too Kam menunjukkan bagaimana cuaca panas terik telah menghasilkan buah limau bali yang lebih kecil (kiri) daripada biasa (kanan) di kebunnya di Tambun. -fotoSAIFUL BAHRI/The Star
PETALING JAYA: Musim panas memberi kesan terhadap sayur-sayuran, buah-buahan dan juga bunga-bungaan.

Bukan sahaja harganya dijangka meningkat, kualiti pertumbuhan juga dijangka terjejas.

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayuran Cameron Highlands  Chay Ee Mong berkata kekurangan hujan, kekurangan bekalan air dan cuaca panas telah menyebabkan kejatuhan tahap pengeluaran sayur-sayuran.

Pada bulan Mac, sudah terdapat penurunan dalam pengeluaran sayur-sayuran pada kadar 10 dan 20 peratus.

"Kualiti sayur-sayuran juga terjejas. sayur-sayuran kami ditanam di kawasan tanah tinggi, jadi suhu yang semakin meningkat tidak sesuai dengannya.

"Di kawasan-kawasan tertentu, terdapat masalah pengairan dan kekurangan air. Hujan tidak turun sejak enam minggu lalu.

"Jika masih tiada hujan, ia akan lebih terjejas tetapi kesannya akan dirasai (oleh pengguna) mungkin dalam tempoh satu atau dua bulan lagi," kata Ee Mong.

Cameron Highlands biasanya akan menghasilkan sekurang-kurangnya 600 tan metrik sayur-sayuran setiap hari.

Ee Mong berkata, suhu yang semakin meningkat juga membawa kepada masalah serangga perosak yang akhirnya menyebabkan sayur-sayuran berkualiti rendah.

Beberapa sayur-sayuran berdaun seperti sawi dan kangkung adalah murah kerana ia dihasilkan di kawasan tanah rendah dan tidak terjejas oleh cuaca panas.

"Hanya sayur-sayuran tertentu seperti kacang panjang Perancis dan kobis akan menjadi lebih mahal," katanya.

Kacang panjang Perancis, yang biasanya berharga RM3 hingga RM4 sekilogram kini berharga lebih dari RM5 sekilogram manakala harga kobis, yang biasanya berharga antara RM1.20 dan RM1.50, kini berharga lebih dari RM2.

Cameron Highlands menghasilkan kira-kira 20 jenis sayur-sayuran termasuk tomato, daun bawang, selada air, lobak dan saderi.

Selain itu, pengeluaran buah-buahan juga terjejas akibat musim kemarau, kata Setiausaha Persatuan Pekebun Buah Selangor Hoh Peng Keong.

Peng Keong berkata pengeluaran dijangka mengalami lebih penurunan pada bulan depan berikutan cuaca panas yang melanda negara.

Sama seperti sayur-sayuran, beliau berkata terdapat penurunan dari segi kualiti terhadap buah yang ditanam.

Ditanya mengenai harga, beliau berkata, terdapat kemungkinan berlakunya kenaikan harga tetapi ia juga bergantung kepada kuasa pasaran.

"Jika berlaku kekurangan bekalan dan terdapat permintaan, harga akan meningkat.

"Pada masa yang sama, jika kualiti yang dihasilkan tidak begitu baik, orang mungkin tidak akan membelinya," katanya.

Presiden Persatuan Florikultur Cameron Highlands Lee Peng Fo juga menyalahkan cuaca panas dan kekurangan bekalan air yang telah menyebabkan penurunan 10 ke 20 peratus dalam pengeluaran bunga di sana.

Bagaimanapun, Peng Fo berkata harga bunga tidak akan meningkat.

"Harganya akan kekal buat masa ini," katanya.

Artikel Lain