suria

Pendaki Tertua Malaysia Sambung Pendakian Everest Hari Ini

Pendaki tertua Malaysia James Lee, 68, sebelum berlepas ke Kathmandu bagi melakukan pendakian solo ke Gunung Everest. - fotoBERNAMA
LUKLA (Nepal): Pendaki tertua Malaysia James Lee Chong Meng akan menyambung pendakiannya pada Isnin dalam misi menawan Gunung Everest berikutan cuaca hujan dan berkabus.

Lee, 68, yang menyertai Lions Mount Everest Expedition (MEE) 2016 berkata sherpa profesional yang mengiringinya dalam pendakian itu menasihatkan beliau supaya menyambung pendakiannya bermula 8.00 pagi Isnin.

"Kami terpaksa bermalam di Lukla kerana keadaan cuaca yang buruk untuk meneruskan pendakian," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tempoh perjalanan dari checkpoint pertama iaitu dari pintu gerbang Pasang Lhamu di Lukla ke Phakding mengambil masa kira-kira empat jam sekiranya cuaca baik.

Lee berkata selepas ke Phakding, kumpulan ekspedisi ini akan meneruskan pendakian ke Monju untuk bermalam di sana selama sehari sebelum meneruskan pendakian ke Nache.

Bekas jurutera itu sudah mencipta rekod sebagai pendaki lelaki tertua di Asia Tenggara dan Malaysia yang akan menakluk gunung setinggi 8,848 meter itu.

Lee berlepas ke Kathmandu, Nepal pada Khamis lepas dan dijangka mengakhiri misi beliau dalam tempoh 70 hari.

Wartawan Bernama Muhammad Afiq Mohd Asri, 25; bersama jurukamera Bernama TV, Fazril Amirul, 23; dan jurufoto Zulfadhli Zulkarnain, 23; mengikuti ekspedisi berkenaan.

Artikel Lain