suria

Koc LRT Jadi Pentas Peragaan Fesyen

KUALA LUMPUR: Tren Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya telah berubah menjadi pentas peragaan apabila sembilan orang model busana Muslimah menggayakan pakaian mereka dari gerabak ke gerabak.

'Runway Busana Muslimah On The Move' adalah pertunjukan fesyen Muslimah yang pertama yang diadakan dalam koc LRT bergerak.

Dalam program ini, model-model memakai pakaian daripada enam jenama - ElleLena, Fiore, Raqtive, TiaLacrissa, Tudung Botol Bonda dan Aireen_my sambil melakukan catwalk di tengah-tengah orang ramai dan menjadi tumpuan dengan fesyen dan pakaian glamor masing-masing.

Penumpang Lutfiah Hafid berkata beliau tidak pernah melihat pertunjukan fesyen di keretapi bergerak sebelum ini.

Wanita berusia 25 tahun itu yang sedang dalam perjalanan pulang ke Gombak, terus mengeluarkan telefon pintarnya untuk mengambil gambar dan video model-model berkenaan.

"Ini jenama apa?

"Pakaian mereka mematuhi syariah. Saya pasti akan melihatnya dalam talian," kata Lutfiah dengan teruja selepas menyaksikan pertunjukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif HCM Biz Services, Harlina Churai Mee yang menganjurkan majlis itu berkata acara itu bertujuan merakyatkan peragaan fesyen yang biasanya diadakan di tempat-tempat eksklusif dan terbuka untuk golongan tertentu sahaja.

Ia bermula dari Stesen LRT Kampung Baru menuju ke arah stesen Gombak sebelum ia berpatah balik ke Kampung Baru untuk model menukar pakaian mereka.

Selepas menaiki keretapi dari Kampung Baru ke Masjid Jamek, model-model itu kemudian meneruskan pertunjukan fesyen di stesen Masjid Jamek.

"Model-model kami sangat interaktif. Mereka menggalakkan orang ramai mengambil 'selfie' dan meminta mereka berkongsi gambar dalam talian dengan semua rakan-rakan mereka," katanya.

Hazlina, yang memiliki jenama ElleLena dan Fiore berkata pertunjukan itu berbeza dengan pertunjukan lain yang biasanya diadakan di pusat beli-belah kerana elemen interaktif.

"Cabaran terbesar kami adalah pergerakan yang terhad dan permukaan bergerak untuk model berjalan di atasnya," katanya.

Mengenai sambutan, Hazlina berkata ia menggalakkan sambil menambah HCM Biz merancang menganjurkan ‘Runway Busana Muslimah on the Move 2.0’ yang bakal menjadi ‘runway’ terpanjang di Malaysia dengan menggabungkan kedua-dua laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang serta Monorel.

Artikel Lain