suria

Kes Mara Inc: Tiga Dibebaskan Dengan Jaminan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc ke Mahkamah Majistret Putrajaya, Rabu, untuk mendapatkan tahanan reman membantu siasatan berhubung pembelian hartanah di Melbourne, Australia. Dia kemudian dibebaskan dengan diikat jamin RM 10,000. Foto: Bernama

PUTRAJAYA: Dua bekas pegawai kanan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) bergelar Datuk dan seorang pengarah syarikat yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung pembelian hartanah di Melbourne, Australia dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membebaskan bekas pengerusi Mara Inc, bekas ketua pegawai eksekutif Mara Inc dan seorang pengarah sebuah syarikat dagangan, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang. Ketiga-tiga lelaki yang berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an itu dibebaskan selepas tempoh tahanan reman tujuh hari tamat pada pada Rabu.

Mereka ditahan pada 23 Mac selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini dan direman keesokannya bagi membantu siasatan.

Beberapa individu termasuk anggota keluarga ketiga-tiga individu terbabit cuba menghalang jurugambar daripada merakamkan gambar mereka ketika keluar dari mahkamah.

Tahun lepas, sayap pelaburan Mara itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandarraya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran diluar negara. -Bernama

Artikel Lain