suria

Pemimpin DAP Diarah Tutup Mulut Isu Banglo, Taman Manggis

PETALING JAYA: Pemimpin DAP diarahkan supaya 'tutup mulut' berhubung banglo milik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan kontroversi yang melanda tanah di Taman Manggis.

Pekeliling yang diedarkan oleh pegawai DAP Pulau Pinang meminta pemimpin parti untuk tidak mengadakan sebarang sidang media atau mengeluarkan kenyataan berhubung dua isu berkenaan yang membabitkan parti di negeri itu.

Hanya tiga pemimpin diberi kuasa untuk mengeluarkan kenyataan dan mereka ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Pengerusi DAP Pulau Pinang dan anggota exco negeri, Chow Kon Yeow dan penasihat undang-undang parti yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Menurut pekeliling itu, arahan itu bertujuan untuk mengelakkan keadaan bertambah mengelirukan dan bagi menentukan pemimpin mengulas mengenai apa yang patut dan tidak sepatutnya diperkatakan.

Pekeliling itu turut menyatakan bahawa ia bertujuan untuk mengelakkan sebarang "pendedahan maklumat sensitif yang tidak disengajakan" memandangkan isu-isu berkenaan adalah serius.

Pekeliling tersebut ditujukan kepada ahli-ahli Parlimen parti, ahli dewan undangan negeri (Adun), ahli jawatankuasa negeri termasuk pemimpin Wanita dan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy).

Ia turut memaklumkan bahawa serangan dilakukan "secara terancang oleh pihak pembangkangnya", pekeliling itu meminta kerjasama penuh bagi menangani krisis yang berlaku.

Pekeliling itu membuat kesimpulan dengan mengatakan bahawa: "Kita mungkin mempunyai perbezaan pendapat dalam mengendalikan isu-isu ini tetapi pada masa ini perpaduan adalah penting".

Guan Eng didakwa membeli banglo di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta, lebih rendah dari nilai pasaran.

Pihak yang membuat dakwaan itu kemudiannya mendedahkan dokumen menerusi media sosial dengan mendakwa wujudnya kaitan antara pembelian banglo tersebut dan projek di Taman Manggis, Georgetown yang mencetuskan kontroversi.

Guan Eng menafikan dakwaan itu dan memberitahu bahawa beliau akan memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

Sejak isu berkenaan mencetuskan kontroversi dua minggu lalu, banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin DAP.

Ada kenyataan yang menambah kekeliruan dan ada juga yang melucukan seperti dakwaan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Weik Aik bahawa Guan Eng merupakan seorang akauntan maka tidak boleh menjangka melakukan penilaian terhadap banglonya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada Ahad mencetuskan sensasi apabila mendakwa nilai hartanah berkenaan rendah mempunyai kaitan dengan fengshui yang tidak baik.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong turut dikritik apabila membantah tajuk laporan The Star.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berkata, ahli politik tidak seharusnya mencampuri hak syarikat penerbitan dalam menentukan tajuk berita kerana ia semata-mata penyampaian kepada berita berkenaan.

Chin Tong sebelum ini mengkritik tajuk laporan mengenai banglo berkenaan tetapi mengakui laporan tersebut adalah tepat.

Artikel Lain