suria

Sabri Yunus tegur adegan intim di pentas universiti, seni kena ada batas agama... Tak perlu sampai hukum pelajar

Sabri (kiri) berpendapat pendekatan lebih membina wajar diutamakan berbanding hukuman keras.

KETIKA hangat perdebatan mengenai adegan sensitif di pentas universiti, pelakon dan aktivis teater, Sabri Yunus tampil memberikan pandangannya mengenai batas dalam berkarya.

Sabri atau Muhammad Sabri Yunus, 65, berkata pementasan teater sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu, malah pernah dianjurkan di beberapa lokasi sebelum ini tanpa sebarang isu.

Dalam hal ini, Sabri berkata setiap pengkarya perlu mempunyai kesedaran mengenai batas terutamanya melibatkan aspek agama.

"Saya ada terbaca satu posting di Facebook. Rupanya teater yang sama pernah dipentaskan di sebuah universiti yang lain. Saya juga pernah menonton pementasan kisah yang sama di MATIC.

Sabri memberikan pandangannya mengenai batas dalam berkarya.

"Kisah ini sebenarnya sudah banyak kali dipentaskan. Sewaktu saya tonton dahulu, tiada babak-babak seperti itu.

"Tak kisahlah sama ada dalam lukisan atau teater, kita kena ada kesedaran sendiri tentang batas-batas di dalam agama," katanya kepada mStar. 

Meskipun seni sering dianggap sebagai medium bebas, Sabri menegaskan bahawa agama telah menetapkan garis panduan tertentu.

Malah, pelakon filem Libang Libu ini turut membuat perbandingan antara pendekatan seni Barat dan Islam yang menurutnya berbeza daripada segi sensitiviti masyarakat dan pegangan agama.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi merangkak, ‘menjalar’ penuh ghairah di ranjang undang kecaman... UM tampil mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN: Sabri Yunus teruja berlakon dengan robot, tak sangka boleh gerak macam manusia

"Walaupun seni itu dianggap bebas secara tidak langsung, namun seni dalam Islam tidak akan menjadi bebas. 

"Saya selalu beri contoh, jika di Barat, ada 20 orang pelukis dan di hadapan mereka ada seorang wanita berbogel. Lalu, mereka melukis tanpa ada sebarang rangsangan.

"Namun, dalam sudut Islam pula jika kita berada dalam situasi sama dan melukis tanpa ada rasa rangsangan, tetap tidak boleh walaupun tiada perasaan," ujarnya. 

Kisah ini sebenarnya sudah banyak kali dipentaskan. Sewaktu saya tonton dahulu, tiada babak-babak seperti itu.

SABRI YUNUS

PELAKON & AKTIVIS TEATER

Mengulas mengenai tindakan terhadap pelajar terlibat, Sabri berpendapat pendekatan yang lebih membina wajar diutamakan berbanding hukuman keras.

"Pada saya, mereka ini tidak perlu dihukum. Namun, mereka haruslah punyai kesedaran bila isu seperti ini berlaku. Nak menghukum pun tidak berguna kerana perkara itu sudah berlalu.

"Hukuman itu akan melemahkan lagi semangat pelajar-pelajar itu. Di universiti, mereka ini mahu belajar dan menuntut ilmu.

Aksi di ranjang yang dipertontonkan ketika pertandingan Karnival Teater UM tular di media sosial.

"Mereka seharusnya dihukum dengan ilmu juga," katanya. 

Sebelum ini, tular rakaman video membabitkan penuntut sebuah universiti yang melakukan aksi intim pelajar lelaki dan perempuan secara terbuka di atas pentas. 

Lebih membimbangkan, pelakon wanita dalam rakaman itu adalah seorang yang berhijab kerana mengenakan tudung sarung.

Menerusi hantaran yang dikongsikan seorang individu di Thread, aksi tersebut merupakan salah satu babak yang dipentaskan dalam Karnival Teater (Karviter) Universiti Malaya (UM).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain