suria

Mata cedera kerana bola pickleball... Aaron Aziz tak serik, lebih berhati-hati supaya kejadian sama tak berulang

Aaron masih bermain pickleball untuk tujuan kesihatan.

MENGALAMI kecederaan mata akibat terkena bola ketika bermain pickleball sama sekali tidak membuatkan pelakon Datuk Aaron Aziz berasa serik ataupun fobia daripada bergiat aktif melakukan aktiviti sukan itu.  

Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 50, berkata, sukan tersebut tetap menjadi pilihannya meskipun sedar risiko kecederaan yang mungkin berulang.

"Ya, sekarang ini saya masih lagi main pickleball. Cumanya saya akan lebih berhati-hatilah ketika bermain supaya kejadian tidak berulang kembali," katanya kepada mStar.

Mata Aaron bengkak gara-gara sukan pickleball. 

Mengulas mengenai langkah keselamatan, Aaron mengakui ada mencuba menggunakan alat perlindungan mata pada peringkat awal proses penyembuhan.

Bagaimanapun, Aaron memilih untuk tidak meneruskan pemakaian alat tersebut kerana berasa kurang selesa ketika beraksi di gelanggang.

"Saya sudah pernah pakai cermin mata untuk sukan itu, tapi rasa tidak selesa. Selepas peluh sahaja, ia akan semakin jatuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz alami kecederaan mata… “Setiap setengah jam, doktor perlu letak ubat”

ARTIKEL BERKAITAN: Umur dah masuk 50 tahun, Aaron Aziz tak mahu babak dukung lagi... “Kubur memanggil, kena jaga”

"Jadi, saya pilih untuk tidak pakai. Namun, saya akan jaga keselamatan dan lebih berhati-hati," ujarnya.

Dalam pada itu, Aaron menjelaskan tujuannya memuat naik foto kecederaan mata di media sosial sebelum ini bukanlah untuk meraih simpati orang ramai.

"Mata sekarang ini sudah baik. Saya uar-uarkan dekat media sosial itu sebab nak kena tunjuk dekat pihak produksi sahaja yang memang betul-betul sakit.

"Sebabnya ketika itu sedang sesi penggambaran. Itu sahaja niat saya. Ketika itu tiga hari berehat," jelasnya lagi.

Sebelum ini, Aaron mengejutkan peminat apabila berkongsi keadaan mata kirinya yang mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital swasta selama tiga hari.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain