suria

Khairul Azwan Dan Rafizi Gagal Selesai Saman Fitnah Secara Mediasi

Khairul Azwan Harun

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah dikemukakan Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli berhubung isu pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia, akan diteruskan dengan perbicaraan selepas ia gagal diselesaikan melalui proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan peguam William Leong yang mewakili Mohd Rafizi kepada pemberita selepas kes disebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi S. Nantha Balan hari ini dengan dihadiri peguam Datuk M. Reza Hassan, mewakili Khairul.

Peguam itu berkata perbicaraan kes ditetapkan selama dua hari bermula 3 Mei ini manakala 6 April ditetapkan untuk pengurusan kes.

Pada 30 Julai 2015, Khairul, 40, memfailkan saman itu terhadap Mohd Rafizi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung isu pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Khairul selaku plaintif mendakwa Mohd Rafizi selaku defendan telah mengedarkan dan menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika mengadakan sidang media di pejabat Mohd Rafizi di Pusat Perkembangan Minda Uni Infiniti pada 6 Julai lepas, dan pada hari sama plaintif menafikan kenyataan itu dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Khairul, yang juga pengarah syarikat Biosis Group Berhad mendakwa perkataan yang diterbitkan itu antara lain mempersoalkan kononnya beliau terlibat dalam urus niaga pembelian 746 Swanston Street di Australia oleh syarikat milik penuh Mara Inc, Thrushcross Land Holdings Limited.

Katanya, perkataan-perkataan fitnah itu turut membawa maksud bahawa beliau kononnya mempunyai kepentingan dalam urusniaga yang dijalankan selain mendakwa urusniaga itu telah menyebabkan Thrushcross Land Holdings Limited mengalami ketirisan sebanyak RM63 juta.

Beliau berkata perkataan fitnah itu turut diterbitkan dalam portal berita antaranya Malaysian Insider dan Mstar serta boleh dikongsi oleh pengguna internet seluruh dunia melalui laman sosial antaranya Facebook dan Twitter.

Akibat penerbitan perkataan itu, Khairul berkata reputasinya sebagai ahli perniagaan dan ahli politik terjejas selain dipandang hina oleh masyarakat umum kononnya beliau terlibat dalam transaksi yang meragukan untuk mengaut keuntungan bagi kepentingan sendiri.

Katanya, satu notis tuntutan bertarikh 8 Julai lepas telah dihantar kepada Mohd Rafizi, antaranya menuntut supaya beliau mengeluarkan permohonan maaf berdasarkan terma-terma yang dipersetujui oleh plaintif, namun sehingga kini defendan enggan memenuhi tuntutan itu.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Turut dituntut satu perintah injunksi untuk menahan defendan atau pembantunya atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan-perkataan berunsur fitnah itu dan memohon supaya defendan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di surat khabar.

Umno, PKR, Mara

Artikel Berikut

Artikel Lain