suria

Wanita Larikan Budak Sedang Main Depan Rumah

KUCHING: Pihak polis mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak yang dipercayai dilarikan berhampiran Bangunan Mara di Plaza Astana dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata pihaknya menafikan kanak-kanak tersebut Haiqal Hakimi Suhini, 7, sudah ditemukan seperti  yang viral di Facebook.

Beliau berkata bapa kanak-kanak tersebut Suhini Abdullah, 36, membuat  laporan di Balai Polis Gita kira-kira pukul 4.35 petang selepas mendapati anaknya yang ditinggalkan di rumah mentuanya hilang dipercayai telah dilarikan.

"Pada jam 1.40 tengah hari, pengadu (si bapa) balik ke rumah mentuanya namun mendapati anaknya tiada di situ.

"Menerusi rakaman CCTV berhampiran tempat kejadian, kanak-kanak itu yang dilihat bermain seorang diri di luar rumah telah dilarikan oleh seorang wanita yang berbaju kurung dan bertudung sebelum wanita itu menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada seorang penunggang motosikal," katanya.

Abang Ahmad berkata sebelum itu wanita berkenaan dilihat menghala ke jalan besar dan cuba menahan beberapa kenderaan sebelum seorang penunggang motosikal tersebut berhenti di situ.

"Selepas kanak-kanak tersebut menaiki motosikal itu, suspek (wanita berkenaan) dilihat beredar daripada tempat itu. Kita dapati penunggang itu berniat jujur dan berhenti untuk menolong wanita berkenaan.

"Kita merayu penunggang motosikal itu untuk tampil bagi memaklumkan di mana dia bawa kanak-kanak itu. Dia boleh datang ke mana-mana balai polis untuk maklumkan perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata pihak polis telah menyebarkan gambar kanak-kanak tersebut di seluruh negara melalui balai-balai polis termasuk memantau di kawasan sempadan.

Kes disiasat kerana melarikan kanak-kanak daripada jagaan yang sah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut