suria

Saya Terlalu Tua Untuk Jadi PM - Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah.

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah pada Selasa memberitahu bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi perdana menteri yang baharu.

"Saya terlalu tua... saya tiada niat untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

"Saya sangat gembira di sini kecuali saya tanpa isteri," katanya pada sidang media di kediamannya pada Selasa.

Ditanya sekiranya beliau mempunyai rancangan untuk memulihkan Umno sebagai parti, Ahli Parlimen Gua Musang itu menjawab dalam alasan sama.

"Sebelum ini saya boleh cakap lima atau enam kali sehari. Sekarang saya boleh cakap mungkin dua kali sehari dan saya sudah penat," katanya.

Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li berkata, beliau tidak menyedari mengenai akuan berkanun yang tidak ditandatangani bagi menyokong beliau menjadi perdana menteri.

"Saya tidak tahu mengenainya. Saya sudah tahu sekarang, tetapi ia bukan akuan berkanun tetapi lebih kepada surat kepada Agong.

"Saya diberitahu ia hanya mengatakan seseorang seperti saya seharusnya dilantik," katanya.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk mengubah landskap politik Malaysia.

"Perlu ada perubahan. Bukan sekadar seorang individu tetapi perubahan kepada keseluruhan sistem.

"Dan ia tidak sepatutnya dibiarkan sebagai kumpulan elitis yang boleh putuskan untuk berubah, tetapi rakyat," katanya, merujuk kepada gerakan "Selamatkan Malaysia" dan deklarasi rakyat yang dilancar oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Artikel Sebelum

Artikel Lain