suria

Polis Pantau Kumpulan Ajaran Sesat Dengan Unsur Militan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Dua kumpulan ajaran sesat Islam dengan unsur militan sedang berada dalam pemerhatian polis bagi menentukan tahap ancaman keselamatan yang ditimbulkan mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua kumpulan ini aktif pada masa ini.

"Polis ini telah berjaya mengesan lapan kumpulan ajaran sesat yang mempunyai unsur-unsur militan.

"Daripada jumlah ini, tindakan telah diambil terhadap enam kumpulan dengan dua yang lain sedang dipantau dengan teliti," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan oleh Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) di Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau berkata polis sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam negeri dan persekutuan, pihak berkuasa majlis tempatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Pendaftar Pertubuhan untuk membuat pemerhatian erat terhadap kumpulan-kumpulan tersebut.

Beliau berkata kumpulan itu pada mulanya akan menjalankan aktiviti keagamaan dan spiritual untuk mendapatkan sokongan dan kesetiaan pengikut sebelum mempengaruhi mereka dengan ajaran sesat.

Artikel Lain