suria

Hampir 663,000 Peminjam PTPTN Gagal Buat Bayaran Balik

KUALA LUMPUR: Seramai 662,983 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) gagal membuat bayaran balik pinjaman melibatkan RM5.4 bilion sehingga 31 Disember lepas, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

KPT dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini memberitahu bahawa RM2.79 bilion pula merupakan baki tertunggak kerana peminjam membuat bayaran balik lebih rendah daripada ansuran ditetapkan PTPTN.

"Bagi tempoh itu juga, seramai 1.88 juta peminjam perlu membayar balik pinjaman PTPTN melibatkan jumlah sebanyak RM15.33 bilion. 

"Daripada jumlah itu, seramai 1.22 juta atau 64.72 peratus peminjam mula membayar balik dengan amaun kutipan sebanyak RM7.14 bilion," kata kementerian itu menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) mengenai jumlah hutang tertunggak PTPTN sehingga Disember lepas. 

Ahmad Fauzi juga ingin tahu inisiatif yang dirangka kementerian itu bagi menggalakkan peminjam menjelaskan pinjaman pendidikan mereka.

Menurut KPT, antara strategi yang dilaksanakan adalah taklimat di institusi kerajaan dan swasta secara berkala serta pemberian diskaun sebanyak 20 peratus bagi penyelesaian hutang secara sekaligus bagi tempoh 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013 dan 10 Oktober 2014 hingga 31 Mac 2015.

"Selain itu, KPT juga membenarkan penstrukturan semula hutang sehingga maksimum umur tidak melebihi 60 tahun, menyenarai hitam peminjam yang gagal membuat bayaran balik dengan Jabatan Imigresen dan melaksanakan tindakan undang-undang," kata KPT. - Bernama

PTPTN

Artikel Lain