suria

Rasuah: Koperal Polis Mengaku Tidak Bersalah

IPOH: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan wang tunai daripada seorang wanita bernilai RM500 pada 2014.

Koperal Roslin Md Esa, 52, dituduh meminta suapan wang tunai RM400 daripada Bedah Debok sebagai dorongan untuk tidak mengenakan tindakan terhadap Azrul Haffiz Che Azzmi, selepas ditahan oleh tertuduh dan dibawa ke Balai Polis Tanjung Rambutan pada 14 Mei 2014.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai bernilai RM100 daripada Bedah Debok sebagai dorongan untuk tidak mengenakan tindakan terhadap Azrul Haffiz.

Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah gerai air kelapa, berhadapan Pejabat Pos Malaysia Tanjung Rambutan, Jalan Besar, Tanjung Rambutan, pada 2.30 petang dan 4.30 petang, 14 Mei 2014.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia boleh dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen 24(1) akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim S. Indra Nehru kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 (RM3,000 bagi setiap pertuduhan) dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 April depan sebagai sebutan semula kes.

Roslin yang berkhidmat sebagai anggota polis selama 21 tahun diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin.

Artikel Lain