suria

Adun Tebedu, Kedup Dan Tarat Dikekalkan Pertahan Kerusi - Adenan

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (tengah) mengangkat tangan bersama para penyokong pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Rasau, Ahad.

SERIAN: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu, Kedup dan Tarat dikekalkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) nanti.

Mereka ialah Datuk Seri Michael Manyin Jawong (Tebedu), Martin Ben (Kedup) dan Datuk Roland Sagah Wee Inn (Tarat).

Adenan membuat pengumuman itu ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Rasau di sini.

Berhubung calon untuk DUN Bukit Semuja dan DUN Serembu, Ketua Menteri berkata beliau akan mengumumkannya sebelum pembubaran DUN.

"Parti SUPP dan PBB masing-masing mendakwa dua kerusi pengundi majoriti Bidayuh itu milik mereka. Untuk elakkan pergaduhan serahkan kepada saya untuk putuskan.

"Siapa sahaja yang saya pilih ... yang lain harus sokong untuk elak pertelingkahan. Belum tiba masanya untuk saya umumkan tetapi saya akan umumkan sebelum pembubaran DUN," katanya.

Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata bagi beliau apa yang paling penting adalah memastikan dua kerusi berkenaan menjadi milik BN.

"Calon yang akan dipilih ialah calon BN ... calon 'Adenan Team'.

"Saya akan berbincang dengan Datuk Seri Richard Riot (Anggota Parlimen Serian), Datuk James Dawos Mamit (Anggota Parlimen Mambong) Michael Manyin, Martin Ben, Roland Sagah dan Datuk Jerip Susil (ADUN Bengoh) sebelum membuat keputusan," katanya.

DUN Bukit Semuja dan Serembu merupakan dua daripada 11 kawasan baharu yang diwujudkan selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak.

Pertambahan dua kerusi itu menjadikan kerusi majoriti masyarakat Bidayuh meningkat kepada lapan berbanding enam sebelum ini iaitu Tasik Biru, Bengoh, Opar, Tarat, Tebedu dan Kedup.-- Bernama 

Adenan Satem, Tebedu, Kedup, Tarat, PRN-11

Artikel Lain