suria

Nasib Hero Tanpa Kerakyatan

LAWAS (Utara Sarawak): Mereka mempertaruhkan nyawa bagi mempertahankan sempadan negara daripada pencerobohan asing semasa konfrontasi pada 1950-an dan awal 1960-an.

Tanpa mereka, sebahagian besar daripada Sarawak mungkin jatuh ke tangan negara asing dan keadaan sempadan Malaysia hari ini pastinya tidak akan sama.

Malangnya walaupun sudah mempertaruhkan nyawa untuk negara, bekas tentera yang berkhidmat sebagai penjaga sempadan sepanjang pergunungan Sarawak dengan Indonesia, tidak mendapat taraf kerakyatan.

Mereka berkali-kali gagal untuk mendapatkan MyKad.

Bekas tentera daripada etnik minoriti Lun Bawang dari kawasan tanah tinggi Bakelalan di utara Sarawak yang kini berusia 70-an dan 80-an masih menggunakan kad pengenalan merah dan hijau.

Timbalan Presiden SPDP, Datuk Nelson Balang Rining mengatur pertemuan bersama lima lelaki dari kawasan tanah tinggi pedalaman untuk bertemu dengan The Star di bandar Lawas yang terletak bersebelahan dengan sempadan Sarawak-Brunei pada Sabtu.

Mereka ialah Basar Arun, 76, Kadamus Liling, 71, Basar Paru, 86, Florant Arun, 70 dan Anderias Sha, 76.

Basar berkata mereka dilahirkan dalam tahun 1930-an dan awal 1940-an dan telah berkhidmat dengan Gurkha British semasa konfrontasi dengan Indonesia.

"Kami berkhidmat sebagai Border Scouts di Long Semadoh dan Bakelalan.

"Apabila Malaysia ditubuhkan, kami memohon IC untuk mendapatkan kewarganegaraan, tetapi Jabatan Pendaftaran Negara tidak pasti sama ada kita dilahirkan di Kalimantan (Indonesia) atau Malaysia.

"Kami sendiri tidak pasti kerana keadaan sempadan pada masa itu masih tidak jelas kerana Malaysia masih belum terbentuk apabila kami dilahirkan.

"Sehingga hari ini, kami telah cuba berulang kali untuk memohon MyKad, tetapi semua kami hanya mendapat IC hijau atau IC merah.

"Kami mahu diiktiraf sebagai rakyat Malaysia dan diberi kerakyatan sebelum mati," katanya.

Balang merayu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menunjukkan belas kasihan kepada bekas anggota tentera berkenaan.

"Mereka tidak layak untuk menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia atau mendapatkan bantuan kebajikan, bantuan untuk rakyat miskin dan faedah perubatan.

"Lebih buruk lagi anak-anak mereka juga tidak mendapat MyKad. Dilema mereka perlu diselesaikan kerana jika tidak masalah ini akan berterusan untuk generasi akan datang," katanya.

Balang menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk campur tangan dalam perkara itu.

MyKad, Lun Bawang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain