suria

Rakaman Video Orang Ramai Lambak Sampah Akan Dihantar Ke MBPJ

PETALING JAYA: Video yang menunjukkan orang ramai membuang sampah di satu sudut jalan di Seapark, di sini akan dihantar kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk tindakan lanjut.

Dengan bantuan daripada orang ramai, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku Lau Weng San berjaya mendapatkan rakaman video orang ramai membuang sampah di satu sudut di Jalan 21/19A dan Jalan 21/21.


Rakaman itu yang dibuat dalam tempoh satu bulan antara 16 Januari dan 15 Februari, menunjukkan orang ramai melonggokkan sampah di situ sepanjang hari, sama ada pada waktu pagi atau pada waktu malam.

Mereka pergi ke lokasi ini sama ada menaiki kereta, motosikal, lori dan ada juga yang berjalan kaki. Malah ada yang dilihat mencampakkan sampah dari kenderaan mereka.

Sampah-sampah yang dibuang termasuklah sampah domestik daripada penduduk dan sisa komersial daripada pengusaha perniagaan di seluruh kawasan tersebut.



Weng San berkata beliau akan mengemukakan rakaman video itu kepada MBPJ dan menyerahkan kepada Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Lee Lih Shyan untuk menyiasat perkara itu.

"MBPJ mungkin dapat mengenal pasti pesalah melalui nombor pendaftaran kenderaan mereka dan mengambil tindakan," katanya.

"Kita perlu tahu siapakah orang yang melakukan lambakan ini, manakala MBPJ juga perlu memastikan bahawa mereka berkerjasama dengan kontraktor sisa buangan berkualiti yang menjalankan kerja mereka."

Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) menyatakan bahawa seseorang yang ditangkap membuang sampah di ruang awam atau kawasan bukan ditetapkan boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM500 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih dari RM1,000 bagi kesalahan berikutnya.

Menurut laman web MBPJ, sampah di kawasan komersial akan dipungut setiap hari kecuali Ahad. MBPJ juga mempunyai sebuah trak Waste-Busters yang bergerak di kawasan sekeliling dan membersihkan 'hotspot' sampah dua kali seminggu.

"MBPJ menawarkan perkhidmatan memungut sisa pukal untuk pelupusan. Penduduk akan dikenakan RM150 bagi setiap perjalanan atau RM100 jika lori itu hanya diisi sebahagian," katanya.

"Bagaimanapun, sama ada perkhidmatan itu diketahui atau tidak, ia tidak bermakna mereka boleh terus membuang sampah di mana-mana tempat yang mereka rasakan sesuai. Ia adalah tindakan mementingkan diri sendiri apabila mereka melepaskan masalah itu kepada pada majlis.

buang sampah, SEapark, MBPJ

Artikel Lain