suria

Pelajar Cemerlang Bimbang Lewat Memohon Jejas Pemilihan Kursus Di IPT

- Gambar fail
PETALING JAYA: Pelajar yang sedang menunggu pengumuman mengenai program persediaan yang diberikan di bawah penajaan Bursary berharap ia akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.

Ramai yang bimbang mereka terlepas tarikh akhir untuk membuat permohonan bagi mengikuti kursus pilihan mereka.

"Pengumuman lebih awal akan membolehkan semua orang merancang masa depan mereka yang lebih baik," kata See Pei Woei, 20.

"Jika pelajar perlu menunggu lebih lama, ada kemungkinan mereka akan terlepas pengambilan awal bagi kursus-kursus tertentu atau ketinggalan daripada mendapat tempat tertentu.

"Ini menjadi kebimbangan utama memandangkan beberapa kursus adalah terhad berbanding kursus lain," katanya.

Sebagai contoh, dari segi belajar perubatan veterinar dalam negara, hanya segelintir institusi awam dan pengajian tinggi swasta yang menawarkan kursus itu termasuk Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan.

Pei Woei telah memutuskan untuk mengikuti kursus dalam bidang perubatan di Universiti Monash untuk tidak membuang masa, tetapi menyaksikan bagaimana kelewatan itu telah menjejaskan ramai rakan-rakannya.

Pelajar cemerlang, Ng Paul Cheng, 18, mendapat 11A+ dan satu A dalam peperiksaan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 berada dalam keadaan serba salah apabila tarikh tutup untuk biasiswa lain semakin dekat tapi dalam masa yang sama berharap untuk mendapatkan biasiswa kerajaan.

"Biasiswa kerajaan adalah biasiswa penuh, itulah sebabnya saya berharap untuk mendapatkannya," kata Paul Cheng.

"Untuk mendapatkan biasiswa lain biasanya lebih sukar dan tarikh tutupnya juga semakin dekat, jadi saya benar-benar tak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Saya datang dari sebuah perkampungan kecil di Sekinchan dan kami tidak kaya, jadi bantuan kewangan benar-benar akan membantu," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Chuan, yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia atau fizik dengan pengkhususan kepada tenaga hijau.

Sarah Tan yang mendapat 11A + dalam SPM dan kini cemas menunggu pengumuman Bursary Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Dia bimbang tidak mendapat tempat untuk belajar perubatan dengan kelewatan ini," kata bapanya Peter Tan.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong dipetik sebagai berkata bahawa beliau menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 'perubahan struktur' untuk program biasiswa itu sebelum akhir bulan ini.

Sejak 2012, pelajar yang mendapat 9A+ dalam SPM secara automatik layak untuk menerima tajaan kewangan Bursary dan diikuti biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Ketika pengubahsuaian Bajet pada Januari, diumumkan bahawa 744 penerima tajaan Bursary perlu meneruskan pengajian dalam negara. Hanya 20 pelajar cemerlang SPM yang akan dapat belajar di institusi luar negara.

Pautan permohonan untuk program itu kini masih tidak boleh diakses walaupun biasanya ia dapat dibuka sebaik sahaja keputusan SPM diumumkan.

Artikel Lain