suria

MyFarm Outlet Akan Dibuka Di Setiap Ibu Negeri - Fama

KUALA LUMPUR: Pasar belian terus hasil pertanian, MyFarm Outlet akan dibuka di setiap ibu negeri bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan barangan keperluan utama dengan harga murah.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata kewujudan pasar itu juga dapat memberi peluang kepada usahawan muda melibatkan diri dalam sektor pemasaran pertanian. 

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembukaan 10 lagi MyFarm Outlet yang beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, menjelang November ini. 

"Konsepnya adalah penjualan barangan segar terus daripada ladang kepada pengguna. Di pasar ini, kita menjual tujuh kumpulan barangan keperluan utama iaitu ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan hasil industri asas tani dan barangan sejuk beku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan tinjauan operasi MyFarm Outlet Kasih di Presint 7, Putrajaya yang dibuka pada 1 Mac lepas dan merupakan projek perintis Fama.

Najib berkata pembukaan lebih banyak MyFarm Outlet adalah sebagai usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti yang diumumkan beliau dalam Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lepas.

Mengulas lanjut mengenai harga barangan di pasar itu, Badruddin berkata MyFarm Outlet menawarkan barangan keperluan dengan harga lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran bagi memberi pilihan kepada pengguna.

"Kita memang ada pegawai yang akan memantau harga di MyFarm Outlets setiap minggu. Kita akan pastikan harga barangan di MyFarm Outlet lebih murah daripada pasaran," katanya.

Ditanya adakah kewujudan pasar itu akan menjejaskan peserta pasar tani sedia ada, Badruddin berkata MyFarm Outlet beroperasi setiap hari yang membolehkan pengunjung mendapatkan 'barangan dapur' mereka setiap masa berbanding pasar tani yang hanya beroperasi sekali atau dua kali seminggu.-- Bernama


MyFarm Outlet, Fama

Artikel Lain